Saturday, 1 January 2022

Perihal Azam dan Matlamat

Tahun berganti tahun, umur kita semakin meningkat samada kita sedar atau tidak. Acapkali angka tahun berubah, manusia akan berlumba-lumba berkongsi apakah azam dan matlamat yang ingin dicapai pada tahun yang baharu itu. Ada yang meletakkan azam ingin menjadi insan yang lebih baik, ada yang berazam ingin terus sukses dalam bisnesnya hingga capai enam angka hasil keuntungan, dan ada sahaja yang azamnya ingin menjadi sihat dan keluar daripada penyakit yang sedang dia bertarung.

Apa jua sahaja azam seorang insan, pasti punya harapan dan kebergantungan pada Tuhan agar diberikan kekuatan dan kemudahan. Kekuatan melawan kesukaran menyempurnakan azam, dan kemudahan dalam segenap proses menuju matlamat.

Begitulah.

Menjelang tahun 2022 ini, azam saya cuma dua. Dan dua ini akan saya cuba capai dalam setiap tindakan dan keputusan saya sepanjang tahun ini In Shaa Allah.

Azam 1: Menjadi pemuda yang benar-benar mencintai Allah & pemuda yang benar-benar dicintai oleh Allah.

Mencintai dan dicintai Allah adalah matlamat yang paling besar bagi setiap yang beriman. Akan tetapi kita sebagai manusia kerap lupa bagaimana meletakkan manifestasi cinta Allah itu dalam kehidupan seharian. Setiap tindakan, keputusan, pertuturan, pakaian, dan segala-segalanya perlulah diasaskan dengan nilai cinta Allah. Oleh itu, ini yang saya ingin usahakan untuk tahun baharu ini, dan mudah-mudahan diteruskan hingga tahun-tahun akhir saya hidup di dunia ini.

Tunjang kepada azam ini adalah berpandukan hadith Rasulullah s.a.w;

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Dari Anas bin Malik dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali karena Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka”(HR Bukhari No: 15)

Saya yakin tatkala kita meletakkan matlamat iman sebagai asas kehidupan kita, Allah s.w.t akan memudahkan apa sahaja ujian dan rintangan yang kita bakal hadapi nanti. Bahkan Allah s.w.t juga menjanjikan pengakhiran yang sangat baik bagi mereka yang meletakkan keyakinan setinggi gunung kepada Dia, Al Hayyu dan Al Qayyum.

Azam 2: Mengimplimentasikan prinsip "Ahsanu 'Amala" dalam setiap ibadah, tindakan, dan keputusan.

Hal ini adalah berdasarkan firman Allah di dalam Surah Al-Mulk ayat ke-2, bagaimana Allah menjelaskan tujuan dijadikan kehidupan dan kematian adalah ingin menguji siapakah yang paling baik amalannya di atas muka bumi ini.

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah Al-Mulk: 2)

Fudhail bin Iyadh radiallahuanhu pernah ditanya apa maksud "Ahsanu ‘Amala", maka beliau menjawab iaitu amalan yang ikhlas dan sowab (benar). Amalan yang dilakukan secara ikhlas tetapi tidak benar maka tidak diterima. Demikian pula amalan yang benar, namun tidak dilakukan dengan ikhlas juga tidak diterima. Beliau lalu menjelaskan yang dimaksudkan ikhlas adalah ikhlas kerana Allah. Dan yang dimaksudkan benar adalah menurut sunnah Rasulullah ﷺ.

Bahkan Rasulullah ﷺ pernah menyebut sebaik-baik manusia adalah yang panjang umurnya dan baik amalannya;

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ قَالَ فَأَيُّ النَّاسِ شَرٌّ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ

Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari ayahnya, bahawa seorang laki-laki berkata; “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik?” Baginda bersabda: “Orang yang panjang umurnya dan baik amalannya.” Tanyanya lagi; “Siapakah manusia yang paling buruk?” Jawab baginda: “Orang yang panjang umurnya dan buruk amalannya.”. (Musnad Ahmad No: 19519) Status: Hadis Sahih

Oleh hal yang demikian, prinsip "Ahsanu 'Amala" menekankan nilai keikhlasan, istiqamah, serta kualiti yang tinggi dalam setiap amalan dan tindakan yang kita lakukan, baik kepada Allah s.w.t, manusia, haiwan serta alam keseluruhannya.

Mudah-mudahan kita semua berjaya mencapai apa sahaja yang kita azamkan pada tahun ini, dan berupaya untuk istiqamah mengamalkan azam tersebut setelah dicapai sehingga membentuk peribadi kita.

Allahumma ameen.



Wednesday, 4 September 2019

Hikmah Ujian

Taufan kegagalan yang melanda boleh sahaja jadi satu peringatan daripada Tuhan betapa engkau sudah lama berada di atas.

Tatkala di puncak keegoan, kau lupa memandang siapa di bawah lantas terisi kekosongan jiwa dengan bibit-bibit kesombongan & takabbur.

Apakah Tuhan tidak adil tatkala Dia mencampakmu jatuh rebah ke lembah hina?

Apakah Dia zalim hanya kerana ditarik secebis nikmat di antara 1001 nikmat yang lain?

Apakah kau sedar bahawa kau cuma punya rasa untuk bersyukur & tunduk meminta di saat susah tapi kau lupa Dia tika kau senang?

Apakah kau tidak tahu bahawa Yusuf, Yunus, Muhammad  juga diuji dengan kegagalan & ujian yang seberat gunung, lantas mereka bersabar?

Lantas ibarat sampan pecah kau terdampar di persisir pantai tanpa punya harapan untuk kembali ke lautan mehnah.

فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ ۖ

Di saat kau hilang tongkat tempat berteguh, kau putus harapan tempat bergantung, segeralah kembali ke pangkuan Rabb Azza wa Jalla. Sejauh mana kau lari daripada Dia, Dia tetap dekat denganmu.

Kerana ujian bukanlah untuk melemahkan,
Tapi menguatkan hati-hati yang percaya pada Tuhan.


260818 | 2355 | Pantai Penarik


Tuesday, 3 September 2019

"Assalamualaikum muallim, muallim sihat?" (Siri 1)


Deringan loceng telefon berbunyi bingit mengejutkan aku dari ulitan mimpi. Dengan mata yang masih terkatup sedikit rapat, aku memerhati waktu di paparan skrin. 

Pukul 5.15 pagi.

Kedengaran ibu dan ayah sedang bersiap-siap di bilik seberang. Dingin subuh masih terasa. Kelihatan zulmat malam kian luput dek cahaya fajar yang semakin menyinsing di kaki langit. Lantas aku bangkit mencapai tuala dan bingkas ke bilik air membersihkan diri.

Cuti semester kali ini aku tekad untuk berkerja. Setelah mensia-siakan cuti semester lepas tanpa sebarang hasil, hanya menghabiskan masa terperap di bilik. Tak mendatangkan sebarang faedah.

Hampa.

Atas minat suka berkongsi dan suka mengajar, aku tertarik untuk mencuba nasib di sebuah sekolah swasta berhampiran rumah. SRITI, sebuah sekolah swasta di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Ya, ramai yang masih tidak tahu tentang tertubuhnya sekolah ni. Mari aku kongsi serba sedikit. Sekolah ni menerapkan elemen integrasi antara akademik, diniyyah dan tarbiyah. Beza dengan sekolah biasa, sekolah ni bermula seawal 7.45 pagi dan selesai pada jam 5.45 petang.

Pelajar-pelajar dididik serta diasuh bukan sahaja pintar dalam akademik, tetapi juga dalam pengajian agama serta aspek tarbiyyah. Elemen tarbiyyah ni sememangnya takkan didapati di sekolah-sekolah harian biasa. Bahkan tidak semua maahad tahfiz mengimplimentasikan perkara yang sama.

Hebat bukan?

Perkara utama yang mengagumkan adalah para pelajar serta guru akan berkerah keringat membersihkan kawasan sekolah. Ya! Mereka sendiri yang melakukan tugas-tugas pembersihan. Dari menyapu sampah, sehinggalah membersihkan tandas sekolah.

Hal ini amat selari dengan anjuran Rasulullah S.A.W bahawa seorang muslim itu perlu menjaga kebersihan, bukan sahaja pada batang tubuhnya sahaja, tetapi juga kawasan sekitarnya. Jika tidak, masakan sah solat kita sekiranya kawasan solat kita bernajis!


***********

Seminggu berlalu. Mendidik anak-anak yang masih belum matang amat mencabar. Mencabar fizikal, mental dan kesabaran sebagai seorang dewasa. Tidak hairan jika anak-anak ini tidak mengerti apa yang kita katakan.

"Hah? Saya tak faham la muallim cakap"

"Ish muallim ni, cuba cakap perkataan yang senang faham. Kitorang kan budak lagi"

Tepuk dahi dibuatnya. Belum lagi bab mengawal anak-anak yang "special". Ya, "special" pada daya kognitif dan stamina mereka. Pantang disuruh diam, lagi mereka bertambah aktif. Di dalam fikiran mereka cuma main dan berseronok.

Ada sahaja tabiat mengusik rakan-rakan sekeliling, bahkan ada juga yang dibuatnya sehingga menangis. Apabila disuruh minta maaf dan tidak mengulangi perbuatan tersebut, sekejap sahaja insafnya.

~Aduhai anak, kau beruntung punya guru-guru berjiwa murabbi dan muaddib. Jika tidak, mungkin sahaja ada penampar sulong hinggap di pipi saban hari.~

Kadang kita lupa bahawa kekuatan yang kita punya hari ini adalah kurniaan Rabb Azza wa Jalla. Bisa sahaja Dia kurniakan untuk kita harini, lantas ditariknya pada keesokan hari.

Kita sangka hari esok adalah hari kita. Kita sangka kita punya kekuatan untuk menghadapi hari-hari seterusnya. Tetapi Dia punya rencana yang lebih baik untuk kita.

Ada turun, ada naik.
Ada sedih, ada gembira.
Ada penat, ada juga semangatnya.

Minggu beradaptasi kian berakhir. Kesedaran singgah di benak fikiran bahawa kekuatan yang sebenar adalah milik Tuhan yang Esa. Minta pada Dia sepenuh hati, nescaya kemudahan akan terbentang luas walaupun disangka sukar di saat permulaan.

Menjadi guru bukanlah suatu tugas mudah. Ianya memerlukan pengorbanan jiwa dan raga yang sangat besar. Apatah lagi mahu menjadi murabbi dan muaddib. Perlu dikorbankan kesakitan sukma, dicurahkan segala keringat tulang belikat, dan ditelan segala kepahitan realiti.

Hanya berbekal harapan untuk melihat anak didiknya menjadi insan yang mengenal Tuhan. Juga menjadi manusia berguna di lapangan masyarakat di luar sana.

"A teacher takes a hand, opens a mind, and touches a heart"




Bersambung,,,

Monday, 28 May 2018

Berjiwa Besar

Saat kau diuji dengan tipu daya dunia,
Penat jerih dengan karenah manusia,
Halangan demi halangan menimpa,
Maka berjiwa besarlah!

Berjiwa besar bukan bererti kau mengalah,
Bukan bermaksud kau lupakan segalanya,
Tetapi berjiwa besar mendidik hati untuk menerima,
Bahawa tiap-tiap kejadian pasti punya hikmah dan aturan istimewa.

Berjiwa besar hakikatnya bukan suatu pilihan,
Bahkan keperluan dan kewajipan bagi setiap yang berjuang,
Hanya jika hadaf jalan juangnya adalah redha Tuhan.

Maka berbahagialah wahai yang berjiwa besar,
Terus mengalir ibarat air sungai merentasi alam,
Tiada yang mampu menghalang hingga tiba perintah Yang Esa,
Terus menapak menuju lautan dewasa!

1100 | 050518 | Catatan Marang



Anak Kecil

Anak kecil itu,
Yang dahulu senyumannya,
Sentiasa terukir girang,
Bersenda bersama bocah-bocah kecilnya,
Membina hamasah yang membara,
Melukis hadaf yang besar,
Tiada lain demi agama tercinta.

Syabab itu,
Yang dahulunya sentiasa gagah,
Melangkah maju ceburi segenap bidang,
Usahanya seakan pahlawan,
Bertempur menentang segala halangan,
Dan citanya hanya satu,
Sebelum titisan darah terakhir,
Mahu dia lihat umat ini bersatu.

Namun kini,
Segala-galanya hancur,
Punah ditelan kerakusan sang durjana,
Perbezaan dua kutub,
Dasarnya rasa tamak yang menggunung,
Berebut kuasa menegakkan benang yang basah,
Akhirnya tiada apa yang menguntungkan,
Hanya kematian, kehancuran, penuh tanggisan.

Wahai anak kecil,
Wahai syabab agama,
Usaha kalian sungguh bernilai di sisi Tuhan,
Air mata yang jatuh ke bumi,
Hanyir darah yang tumpah disisi,
Kelak bersaksi di hadapan Tuhan,
Bahawa kalian adalah syahid yang dirindui,
Rehat kalian hanya di firdausi,
Tiada lagi tanggis, tiada lagi sangsi.

Wahai umat,
Tiadakah kita sedar,
Nasib saudara seagama di sana?
Apakah mereka sedang kelaparan?
Apakah mereka menahan kesejukan?
Sedang kita bersenang di sini? .

221216 | 1030 | Pantai Cenang



Tuesday, 24 November 2015

Ukhwah Semanis Coklat

Ukhwah, dalam erti kata lain sebuah ikatan persaudaraan antara Muslim adalah satu perkara yang unik dan sukar diolah dengan kata-kata. Kewujudan ukhwah dalam kalangan mukmin adalah satu anugerah Rabb Azza wa Jalla yang sepatutnya disyukuri oleh segenap insan, bahkan perlu ditanggisi sekiranya ia tiada. Ikatan ini, bukan sahaja lahir daripada aqidah yang satu, bukan sahaja lahir daripada kasih sayang yang terlahir dari hati yang suci, tetapi menuntut kepada pengorbanan dalam segenap aspek.

Pengorbanan masa, tenaga, harta mahupun jiwa menjadi satu realiti apabila ikatan ini difahami dengan sebenar-benar faham dan didasari dengan tujuan yang satu, iaitu kerana tuhan yang esa. Ukhuwwah mengajar kita untuk memahami orang lain, mengajar kita untuk sentiasa peduli orang sekeliling, dan sedia menghulurkan pertolongan  tatkala mereka di dalam kesusahan.

Ukhwah yang dijalin atas dasar keimanan mengajar kita lebih daripada itu. Peduli adakah iman saudaranya sihat, atau sedang tenat. Peduli adakah saudaranya sedang kelaparan, memerlukan sesuap nasi untuk dijamah. Peduli adakah sahabatnya sedang dalam kesusahan, dek kerana sering memencilkan diri dan semakin menjauh.

Ukhwah juga memerlukan kepercayaan yang tulus antara satu sama lain, kerana percaya itu yang menguatkan hubungan, tiada rasa ragu-ragu. Kita percaya untuk berkongsi cerita dengan sahabat kita, kita percaya untuk berkongsi rahsia dengannya, bahkan percaya untuk meluahkan segala masalah kita kepadanya. Unik bukan?

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Mafhumnya : " Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. "

Sungguh, ukhwah itu semanis coklat, malah lebih manis daripada mana2 coklat yang wujud atas muka bumi ini. Ukhwah yang dijalin bukan untuk dinikmati di atas dunia yang sementara ini sahaja, tetapi untuk dinikmati bersama menuju firdausi, kekal selamanya. Itulah manisnya ukhwah yang dijalin atas paksi keimanan, didasari hati yang ikhlas, sedia berkorban dan percaya yang tiada tepi.

Maka, jikalau kita masih belum merasai manisnya ukhwah, kita masih punya masa untuk mencontohi Saidina Abu Bakar r.a , yang sangat sayangkan ukhwahnya dengan Rasulullah s.a.w. Tatkala baginda s.a.w dituduh pendusta oleh kaumnya, beliau hadir membenarkan sahabat kesayangannya, tanpa ragu. Itulah sahabat yang sejati, menjadi peneman ketika suka dan duka, sentiasa bersama menghadapi pahit manis perjuangan.

Benar bukan, ukhwah itu lebih manis daripada coklat?



Thursday, 29 October 2015

Terpencil 2

Bandaraya Melaka diselaputi kelabu jerebu yang memenuhi ruang udara. Partikel-partikel halus berterbangan di merata tempat - berasal dari tanah Sumatera - akibat perbuatan durjana manusia yang tegar membakar dan memusnahkan hutan. Akibatnya, negara-negara serantau asia tenggara merana dek jerebu yang amat membahayakan kesihatan.

Kementerian Pendidikan mengumumkan cuti sekolah di 3 negeri iaitu Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan kerana jerebu yang semakin menebal, risau membahayakan kesihatan pelajar. Bukan sahaja pelajar sekolah, malah para siswa dan siswi universiti turut diarahkan cuti dan tidak meliar di kawasan terbuka. Aku lapang dada menerima berita itu, mungkin kerana cuti yang diberikan ini dapat aku manfaatkan dengan mengulang-kaji subtopik yang agak kurang difahami, sambil2 mengemas bilik yang bersepah. Bilik bujang, faham saja lah.

Disini, aku bersyukur kerana dikurniakan sahabat-sahabat yang sangat rajin menuntut ilmu, di samping berminat dengan hal ehwal keagamaan. Mereka sentiasa terbuka untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti dakwah, walaupun kebanyakan mereka bukanlah berlatar-belakang pelajar sekolah agama. Situasi yang pada mulanya aku merasakan sangat menekan keimanan, bertukar kepada situasi yang sangat memerlukan kesabaran dan pendekatan yang berhikmah.

Tiada rasis bangsa.
Tiada rasis agama.

Perbincangan dijalankan secara terbuka, saling berlapang dada dan bertoleransi jika berbeza pendapat dan pandangan. Dulu, sukar untuk melihat satu perbincangan berjalan dengan aman, perbalahan emosi sering terjadi, ego yang menebal amat sukar dikikis. Tapi di sini, segalanya bisa dibincang, sama-sama fikir baik buruk, dan mencapai kata sepakat yang adil kepada semua pihak, tanpa mengira agama dan kaum.

Seorang sahabat yang kerap aku berkongsi cerita dan pengalaman, merupakan produk berkualiti sebuah sekolah asrama penuh yang terkenal di Kuala Lumpur. Seorang yang boleh dipercayai, sedia membantu dan sudi mendengar patah-patah bicara perkongsian cerita sewaktu aku di bumi barakah dahulu ( dan beliau peminat setia kpop ==" ).

Ya, sahabat sangat memainkan peranan yang penting tika kita berjauhan dari keluarga bukan? 

" A friend in need, is a friend indeed "

Saturday, 29 August 2015

Terpencil 1

Embun malam menitik sejuk, dari daunan hijau jatuh ke tanah. Angin bayu sumatera menghembus dingin malam ini, membawa aroma dan memori tanah subur palembang dan minang, bahkan juga acheh. Detik jarum waktu setia berputar, mengelilingi nombor-nombor genap dan ganjil. Cengkerik bersaing menjadi yang ternyaring, mengerik bunyi menghias suasana zulmat.

Aku menutup buku teks Biologi setelah hampir sejam menelaah tajuk-tajuk yang berat. Gas exchange system, chronic obstructive pulmonary diseases ( COPD ), inspiration & expiration, kesemuanya memenuhi segenap ruang cerebral hemisphere. Tepu.

Aku menghembus nafas, meregangkan otot-otot triceps, biceps dan deltoid yang seakan kejang. Lantas aku buka telefon pintar buatan China yang sudah hampir setahun berkhidmat. Masih setia, cuma kadang-kadang meragam. Aplikasi whatsapp mencuri perhatianku kerana hampir 100 notification masuk, meminta untuk dibaca.

Aku scroll group bualan sahabat-sahabat di bumi barakah, Darul Quran. Banyak perkara dikongsi semenjak group bualan itu ditubuhkan. Suka dan duka, pahit dan manis, masam dan manis, bahkan ada yang kerap keluar, masuk dan keluar semula. Pelbagai ragam.

Topik perbincangan malam ini kelihatan menarik. Biah, atau dalam kosa kata bahasa melayu bererti suasana. Masing-masing memberikan pandangan dan hujah, berbeza pendapat bersandarkan fakta dan pengetahuan masing-masing. Aku juga tidak ketinggalan untuk turut serta berfikir dan bersikap kritis.

“ Aku tak sangka biah kat sini macam ni...”, luah seorang sahabat.

“ Sekurang-kurangnya ikhtilat masih terjaga di sana “, pandangan sisi sahabat yang lain.

Aku termenung seketika. Cuba memikirkan situasi biah yang sedang mengelilingiku di sini. Jauh dari dunia luar, jauh dari kuliah-kuliah agama, bahkan x kurang mereka yang gagal mematuhi piawaian pemakaian yang menutup aurat, yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Belum juga masuk bab ikhtilat dan batas-batas antara berbeza jantina, semuanya amat menyesakkan.

“ Kenapa aku tercampak di sini? Kenapa di tempat yang amat menekan budaya barat, hilang kekuatan agama, hanya adat yang dibanggakan? Kenapa? “, rasionalku sedang mempersoal. Soalan yang aku belum temui apa jawapannya.

Ahh! Pasti ada sebabnya. Pasti ada kebaikannya. Pasti ada rencana tuhan untuk aku lalui dengan izin-Nya.

*Bersambung...



Monday, 17 August 2015

Hafiz...or just memorizing??

Al Hafiz.

Gelaran buat mereka yang menghafal Kalam Ilahi. Ayat-ayat cinta Sang Tuhan tersemat kemas, tersimpan rapi di dalam hati dan kotak memori.

Tetapi gelaran yang diraih itu bukan lah untuk dibanggakan.

Bukan untuk dijadikan tiket supaya dijemput menjadi imam di masjid-masjid dan di surau-surau.

Bukan juga untuk dijadikan satu nilaian saat ingin memetik mawar solehah di taman larangan.

Al Hafiz.

Terkandung 1001 amanah yang sangat berat untuk dipikul. Amanah menjaga, memelihara, menghayati, mengamalkan setiap mesej bak mutiara berharga, agar ianya tidak sepi di pinggir lisan juga di pinggir kotak memori.

Wahai para hafiz dan hafizah sekalian,

Sedarlah dari buaian lena,
Sedarlah dari keasyikan dunia,
Sedarlah bahawa kau punya tanggungjawab yang perlu dilunas,
Sebagai penjaga bait bicara milik-Nya.

Supaya saat dihisab nanti,
Kalam itu menjadi hujah bagimu,
Bahawa kau menjaganya sepenuh hati,
Jaga, yang sebenar-benar menjaga.




Monday, 22 June 2015

Duhai Hati

Duhai hati,
Mengapa engkau bersedih?
Tanggis hiba meluluh jiwa?
Apakah engkau ditikam ujian dunia?


Duhai hati,
Mengapa engkau merajuk?
Muka masam mencuka mencarik hiba?
Apakah engkau dihentam fana dunia?


Duhai hati,
Mengapa engkau berduka?
Memencil jauh di tepian?
Apakah engkau ditinggalkan hina?


Duhai hati,
Mengapa perlu bersedih?
Mengapa perlu ada rajuk?
Mengapa perlu punya duka?


Duhai hati,
Sedarlah bahawa itu semua,
Sekadar permainan syaitan durjana,
Supaya engkau jatuh terduduk,
Sedang dia bersuka ria.


Duhai hati,
Sedarlah tuhan itu sentiasa ada,
Rahmat-Nya terbentang luas,
Engkau perlu bangkit mencarinya,
Kerana ianya pasti ada buat yang bergelar hamba.


Duhai hati,
Ayuh seka sedih mu,
Ayuh buang rajuk mu,
Ayuh tinggal jauh duka mu.


Duhai hati,
Tidak muncul si pelangi tanpa hujan,
Tidak muncul sang mentari tanpa ribut,
Tidak muncul pohon yang gagah tanpa tamparan angin.


Duhai hati,
Bangkitlah,
Setelah musibah melanda mu,
Terus kuat menongkat diri,
Mencari rahmat-Nya yang kian hampir.


Duhai hati,
Kuat, dan terus kuat,
Ikhlas hanya kerana Tuhan.

Tuesday, 17 February 2015

Pengakhiran Yang Pasti

Sudah jauh aku berjalan, sebagai seorang hamba Sang Tuhan.

Sudah banyak epilog yang telah aku telusuri, pelbagai mehnah dan cabaran yang datang menyapa.

Sudah ramai manusia yang telah aku kenali, ada yang sudi menjadi sahabat, tak kurang juga yang sudi menjadi teman sehidup semati.

Semakin jauh aku berjalan, semakin banyak perkara aku fahami. Malah semakin banyak juga perkara aku pelajari.

Sunnatullah,
tabiat manusiawi,
teman dan lawan,
juga hati dan perasaan.

Tetapi, setiap permulaan pasti punya pengakhiran. Dan setiap pengakhiran itu adalah sifir yang pasti bagi setiap manusia yang bergelar hamba.

Aku risau, pengakhiranku nanti adalah satu pengakhiran yang hampa. Merugikan setiap langkahku di dunia. Tiada hasil yang bolehku damba di akhirat sana.

Ya Rabb, sungguh hati hamba-Mu ini amat memerlukan-Mu.

Dalam setiap detik perjalananku sebagai seorang hamba.

Supaya,
Rahmat-Mu sudi menemaniku,
Dalam menuju pengakhiran nafasku,
Yang kian pasti.

100215 | 1800



Mawar Itu...

Mawar itu,
Kembang mekar menghias alam,
Mewarnai hari-hari yang kusam,
Tumbuh menyubur tiada kelam,
Indah terjaga tidak berbungkam.

Mawar itu,
Senantiasa bertasbih,
Memuji dan mengingati Sang Tuhan,
Tiada sedetik melupakan-Nya,
Malah merindukan Rahmat dari-Nya.

Mawar itu,
Perjuangannya tiada pernah bertepi,
Hamasahnya tinggi seunggul murobbi,
Meneruskan derap langkah memegang panji,
Melaksana amanah baiah yang telah dipateri.

Mawar itu,
Pernah jatuh tersungkur,
Langkahnya semakin longlai,
Nafasnya semakin lelah,
Hadafnya semakin kabur.

Mawar itu,
Berusaha untuk bangkit semula,
Berhempas melawan futur,
Kembali mengatur nafas dan langkah,
Hanya berbekal Rahmat Rabb Azza wa Jalla.

Mawar itu,
Sedar akan tujuan penciptaannya,
Sebagai khalifah dan juga hamba,
Maka dia perlu terus berusaha,
Mengerah segala kudrat dan daya,
Menyeka segala lelah dan duka,
Ikhlas hanya untuk melihat dunia,
Dipaksikan agama dan syiar milik-Nya.

Sungguh,
Mawar itu,
Banyak memberiku inspirasi,
Terus berjuang sebagai hafiz dan daie,
Tabah menyingkap onak dan duri.

Semoga engkau tenang di perjuangan sana,
Wahai mawar yang aku segani. .

230115 | 1500 .



Wednesday, 28 January 2015

INTROSPEKSI, Menjamin Kualiti

365 hari sudah aku lalui sebagai seorang hamba Sang Pencipta. Malah juga sebagai khalifah di bumi milik-Nya.

Tetapi.. Pelbagai dosa, maksiat dan larangan-Nya yang telah aku lakukan sentiasa menghantui diri. Malah kewajipan yang disandarkan ke atas bahuku sebagai seorang mukallaf juga masih culas untuk diselesaikan sebaik mungkin.

Ahh.. Penat, lelah, futur, berbagai-bagai lagi perasaan datang mengiklim diri. Peningkatan entah ke mana, perubahan tiada, taubat, lagi lah tidak memberi apa-apa makna.

Muhasabah.

Jarang dibuat. Pernah terlintas di hati untuk bermuhasabah. Menghitung amalan fardiy sehari-hari, 'recheck' semula diri adakah semakin menghampiri Rabb atau semakin menjauhi.

Sedarlah wahai diri.

Ajal kau semakin menghampiri, semakin mendekati, malah akan kau temui. Jika bukan sekarang, mungkin esok, lusa, tulat, atau satu hari nanti yang telah dijanji.

Introspeksi diri.

Lakukan lah wahai diri.

Supaya saat kau dijemput nanti, kau tidak merasa rugi.

Tika kau lihat orang lain mempunyai bekal amal penuh berganda, kau lihat tangan kau kosong, penuh hampa.

*Pesan hati buat diri * .




Sunday, 28 December 2014

LANGIT, Masih Cerah

Langit di sini masih cerah,
Awannya juga belum puas berarak,
Membisikkan khabar dari Ilahi,
Menyapa hati leluhur murni.

Langit di sini masih cerah,
Paginya juga masih setia menerangi,
Berapa jauh lagi syurga dan neraka,
Sedang kami asyik menjamah dunia.

Sedang langit di sini masih cerah,
Jiwaku sudah mulai basah,
Air mata hampir penuh ditadah.

Dalam kesedihan melempar tangisan,
Tanahku dicengkam ujian,
Jadikan siang mereka terang dengan kekuatan,
Jadikan malam mereka bercahaya dengan kesabaran.

Langit di sini masih cerah,
Kita masih punya harapan,
Selagi berpegang pada langit Islam



Sunday, 21 December 2014

Cemburu, Jangan Sampai Hasad

Cemburu.

Kau cemburu dengan orang lain.
Kau cemburu dengan kelebihan yang mereka ada.
Kau cemburu dengan kemahiran yang mereka perolehi.
Malah kau cemburu dek kerana kelemahan dan kekurangan pada diri sendiri.

Tapi,

Kau tak pernah sedar yang kau juga punya kelebihan,
Kau tak sedar yang di sisi kau terdapat juga kebaikan,
Tapi kau terus dihantui rasa cemburu pada nikmat duniawi.

Hasad.

Satu penyakit yang boleh membarah, membusung malah bernanah di dalam jiwa setiap manusia. Semakin disimpan, semakin ia membara mengeluarkan aura yang mampu membunuh nurani manusiawi.

Nafsu tidak akan pernah puas wahai sahabat. Tidak akan.

Sedarlah.

Dan bersyukurlah.

Atas setiap nikmat yang Tuhan kurniakan.
Supaya kau tahu,
kau cuma hamba,
bukan yang mampu mencipta.


Thursday, 18 December 2014

INKLUSIF, Jangan Terlalu EKSKLUSIF

Eksklusif.

Meletakkan diri kita dalam zon yang istimewa dan selesa, merasakan diri kita yang terbaik dan tidak perlu bercampur malah bergaul bersama orang lain.

Berkelompok.

Bangga dengan kelompok sendiri.

Obses dengan kehebatan yang ada.

" Aku tak suka bergaul dengan kumpulan tu "

" Jemaah kita paling betul, jemaah lain jangan ikut "

Kenapa perlu jadi sedemikian rupa? Sedangkan tugas kita sebagai hamba Rabb adalah menjalin dan menyulam ukhwah sesama saudara.

Masing-masing mendakwa kumpulan mereka yang benar dan betul. Mendakwa mereka yang terbaik, dan menafikan kumpulan yang lain bahawa kumpulan itu salah dan perlu dihindari.

Label itu ini tanpa asas. Menafikan kebaikan disebalik keburukan yang sekelumit cuma. Pandangan dan kritikan yang dilontar bersalahan dengan pendapat kita, ditolak mentah-mentah. Kenapa?

Obses.

Ya obses!!

Obses dan fanatik hanya menjadi racun, dan akan memusnahkan diri. Berfikirlah secara rasional. Usah membuta tuli.

Inklusif.

Inklusifkan diri kita bersama semua lapisan marhaen. Inklusifkan kumpulan kita bersama kumpulan lain. Inklusifkan setiap lontaran pandangan dan kritikan.

Mana yang betul, kita ambil dan terima. Mana yang silap, kita tegur dan sama-sama perbaiki.

Kutiplah hikmah di atas setiap perkara. Kerana hikmah itu barang yang hilang buat umat ini.


Wednesday, 17 December 2014

The Date

THE DATE


I can’t remember the date, it was long ago... 2 years, almost.


Kami bawa Nazahah ke klinik, untuk cek kesihatan. Dia mengadu selalu pening, kadang-kadang demam. Tetapi kami sejak kecil lagi ditanam dengan sifat itu, “Selagi mampu berjalan, kita akan terus berjalan”. Sampailah Ibu kasihan melihat Na, sebab mukanya pucat semacam hari itu, selepas pulang dari program kecemerlangan PMR.


Darah diambil, seminggu menanti keputusan.


Telefon rumah berdering, diri ini yang angkat. Kami baru pulang dari sekolah, penat berjalan kaki masih belum hilang.


“Boleh saya bercakap dengan Encik Abadan?”


“Maaf, Ayah belum balik. Ada kelas lagi, mungkin. Boleh saya tahu, ini siapa ye?”


“Saya dari Klinik Sallehudin, tentang keputusan darah... Nazahah.”


Masih tenang.


“Kenapa ye? Rasanya belum seminggu.”


“Ya, tapi nak bercakap dengan Encik Abadan, Nazahah perlu dibawa ke hospital secepat mungkin.”


“Kenapa ye?”, aku yang jahil bertanya.


“Ada blast dalam darah”


Masih tenang, tanda tak faham. “Baiklah, saya bagitahu Ayah nanti.”


Ayah pulang dari mengajar. Kalau HAMKA menulis tentang bapanya, aku rasa juga ingin menulis untuk Ayahku, dari sisi perajurit peribadi. Raut wajahnya masih tenang mendengar berita itu. Seingat aku, Ayah segera ke hospital untuk mengambil Surat Rujukan dari klinik, bagi memudahkan urusan pendaftaran di hospital.


“Na, kemas-kemas barang. Dr suruh pergi hospital. Bawalah baju untuk dua tiga hari”, itu memang bahasa Ayah. Suaranya bertambah bimbang.
Malam itu juga Ayah membawa Nazahah ke Hosptal KPJ Shah Alam, hospital panel MMU. Ibu masih setia di rumah, kami perlu bersekolah esok. Seingat aku, hari itu hari Isnin, atau Selasa. Sebagai yang paling tua di rumah itu, aku hanya dapat mengekalkan raut ketenangan menjawab setiap soalan adik-adik, sebab Nazahah masih di hospital untuk didiagnos. Masih tiada kepastian.


2 hari berlalu, dan hari ini cuti umum dalam tahun 2012 ini. Kerja sekolah calon SPM 2012 belambak, tapi hati tidak setenang mana. Ibu ke hospital KPJ, menemani Nazahah. Ya, Nazahah agak sensitif sedikit berbanding adik beradik yang lain. Orangnya meminati seni. Halus jiwanya. Oh ya, masa itu masih ada bibik Uut menemani kami di rumah. Sebab itu, jauh juga kaki Ibu melangkah ke Shah Alam.


Telefon berbunyi, 6 pm, Rabu. “Kakak, Ibu panggil mu!”


Aku segera turun dari loteng, “Ya, Ibu?”


“Malam ini Ibu dengan Ayah tak balik. Tolong jagakan adik-adik. Pesan juga pada adik-adik, tolong doakan Na”, suara Ibu tersekat-sekat. Aku kenal Ibu, itu tanda Ibu sedang sedih yang mendalam.


“Ibu, Na kenapa?”


“Ibu tengah nak teman ambulans. Sekejap lagi Na naik ambulans. Na suspected Leukimea, AML. Na akan transfer ke PPUM..”


“Kat mana tu Ibu?”


“Kat UM, Dr suggest kat situ sebab kat situ ada pakar darah...”


“Ohh..”


“Okaylah Mardhiyyah. Tolong jagakan adik-adik, doakan Na, pesan kat adik-adik, solat, ngaji..”


“In syaa Allah, Ibu.” Tanpa banyak soal.


Aku naik ke loteng, mengoogle tentang Leukimea, sebanyaknya. Tak perlu dicoretkan di sini, sebab Google sentiasa ada untuk digoogle.
Jiwa masih tenang, dan apa jua yang Allah tuliskan untuk kita, akan menjadi kepada kita. Sebaliknya jika Allah mengkehendaki sebaliknya.


Hujung minggu itu Ayah membawa kami adik beradik ke PPUM. Kami adik beradik, mata Jannah menangis, masih aku ingat. Seorang demi seorang tidak sanggup melihat Nazahah terbaring di atas katil, dan dia... masih tenang menyambut adik-adiknya. Aku sendiri sesak dada menahan. Tahan.


“Jangan nangis, datang jauh-jauh nangis nak buat apa..”, katanya.


Aku duduk di sebelahnya,” Dr kata apa, Na?”


Dia senyum. Ibu yang membalas,” lepas ni kena ready. Dr dah ambil sampel air sum-sum tulang belakang, mungkin kena Chemo lepas ni..”


“Chemo?”


Dan banyak lagi yang kami bualkan di hospital Wad 5 PA. Tentang kawan-kawan yang bertanya, tentang adik beradik Ayah yang belum dikhabarkan semuanya (Ayah memang jenis pemendam yang hebat), tentang kelas-kelas tambahan, tentang berita hari ini. Dan paling penting, tentang semangat untuk terus hidup, melawan penyakit sebagai jihad. Semuanya, bagi menahan sesak di dada Si Tukang Cerita. Dan dia, membalas sesekali, dengan senyuman dan kata-kata, sebutir-sebutir.


Dan ‘Chemo’ itu buat seketika menjadi perang kami di rumah. Alhamdulillah, di rumah ini, ruang ‘demokrasi’ itu wujud. Aku menyuarakan pandangan dan kebimbanganku kepada Ayah tentang chemo. Tetapi aku menghormati sepenuhnya autoriti Ibu dan Ayah. Mereka berhak.
Nazahah diberikan telefon, model lama seingat aku. Sesekali menghubunginya, dalam hari-hari aku sebagai calon SPM, agak sibuk dengan buku. Dan Nazahah, sesekali menelefon ke rumah, bertanya khabar adik kecil kami, Fatimah. “Makan apa hari ni?” boleh jadi kerana lauk hospital yang menguji deria rasa.


“Esok Na start chemo, mu tak datang ke?”


“Sekolah la Na. Hujung minggu ni aku ajak Ayah.”


“Ha.. Bagus bagus. Bawa adik-adik sekali.”


“Mu nak kirim apa-apa tak, Na?”. Maka bersambung perbualan. Kami adik beradik majoriti perempuan, maka begitulah.


Chemo pertama bermula sesegera mungkin di PPUM, kerana blast pada komposisi darahnya sangat banyak, boleh meragut nyawa. Hujung minggu itu kami datang, dan aku masih menunggu di luar. Belum cukup kuat untuk masuk, mata masih berair, mulut hanya tersenyum. Tenang, tenang, semuanya milik Allah.


“Mana Kak Diyah?”


“Tu kat luar. Kak Diyah, masuklah!”


Aku mendengar dari luar. Melangkah masuk, “Na, macam mana?”


“Rasa nak baring je dengan chemo ni. Nak muntah-muntah. Teringin nak jalan-jalan kat luar, tapi tak laratlah pulak!”


“Haha, tunggu mu okaylah Na. Kat luar tu dari sini boleh Nampak taman kat bawah. Kuat sikit lawan!”


“Ye lah, yelah... Mu bawa nanti ea”


Dan Nazahah mengulangi chemo, seingat aku, 7 kali. Turun naik antibody sangat penting untuk kami updates. Sepanjang di hospital, kami catat aliran makanan minuman keluar masuk dari badan. Ibu sediakan sebuah buku panjang, khas untuk itu. Ibu, Cikgu kan.


Ada kalanya Leukimea itu membawa kesan yang teruk. Sampai kadang-kadang aku bermalam di hospital, kadang-kadang juga aku ponteng kelas.
Beberapa kali setelah rawatan, Nazahah cirit-birit, dan tidak upaya mengawal sistem badannya sendiri. Lebih merisaukan jika dia demam. Aku agak malas jika kena mengelap badannya akibat suhu yang tinggi, tetapi Ibulah yang selalu mempositifkan keadaan, “Pandang sesuatu dengan hikmah, Allah sedang mengajarkan kita banyak perkara..”


Dan pada masa-masa Nazahah belum berupaya, lemah akibat komposisi dan kuantiti darahnya yang sedikit, kami akan bergilir-gilir. Ayah akan ke sekolah seawal 2 PM setiap hari, mengambil aku dan dibawa ke hospital. Sekitar jam 4 PM kami tiba di PPUM, giliran Ibu pula untuk ke sekolah. Malam itu sekitar jam 12 AM, Ibu pula akan datang bersama-sama beg-beg berisi fail dan buku-buku latihan anak muridnya. Ya, kami tukar shift, dan tiada waktu melawat untuk kami. Para doktor dan juru rawat juga sudah faham.


Pernah sekali Ibu kemalangan semasa dalam perjalanan ke sekolah. Ibu mengantuk dan keletihan sekali. Dan aku, sesekali tertunduk diam dalam kelas. Sesekali berdiri mengaku tugasan sekolah semalam masih belum selesai, terutamanya pada bulan-bulan awal. Aku diam dimarahi kerana aku tahu salahku, dan aku harus segera mengadaptasi diri dengan keadaan yang baru. Kadang-kadang juga aku lari dari kelas, kerana latihan debat yang menjadi tempat meluahkan pembacaan. Salah aku juga. Jadi aku hanya diam.


Sesekali apabila Nazahah semakin pulih, aku membawa Nazahah ‘lari’ dari wad. Kami ke kedai, kami ke taman, dan sesekali menjengah ke hujung bangunan melihat pemandangan luar. Kami berkongsi minat yang sama, alam.


Kadang-kadang selepas Chemo dan keadaannya mengizinkan, Doktor membenarkan Nazahah untuk pulang. Rumah kami baru siap dipasang penyaman udara supaya Nazahah selesa. Dia tidak boleh keluar rumah, tidak ke kenduri, atau bermain-main di luar bersama adik-adik bagi mengelakkan jangkitan. Dan sepanjang tempoh itu juga, kami sama-sama belajar untuk mengkuarintin diri kami daripada memegang basikal, bermain pingpong, ataupun keluar berjalan-jalan.


Perjalanan memperkukuh hati dan jiwa sesama kami bukanlah mudah sebenarnya. Dia calon PMR (setelah dia hampir putus asa untuk ambil PMR) dan aku calon SPM. Ketika dia tidur, aku membuka buku di luar bilik hospital sambil menunggu Ibu datang. Dari situ aku belajar secara on-call. Bila-bila masa Nazahah mungkin memanggil dari dalam bilik, walaupun dia boleh sahaja memanggil nurse. Tetapi aku mengerti, dia dan aku hampir sama. Kami segan meminta daripada orang lain. Sesekali semasa membersihkan dirinya, aku memarahi dia selepas melihat dia menangis.


“Maafkan Na Kak Diyah, sebab susahkan mu..”


“Na, aku tak pernah rasa susah sebab mu. Boleh jadi nanti aku sakit, mu pula yang jaga aku. Boleh jadi sebab ini Allah selamatkan aku dari neraka.. Kenapa mu kena nangis, Na?”


“Aku rasa banyak dah susahkan mu, Ayah dan Ibu..”


“Na, mu kena kuat! Kita kan adik-beradik, Na.”


Dan Ibu Ayah juga selalu memberikan kata-kata perangsang. Remaja di umur-umur peralihan, mesti selalu diingatkan bahawa hidup ialah perjalanan kehambaan.


“Ibu, Na balik ke hujung minggu ni?”


“Haa.. A ah, in syaa Allah, Doktor kata mungkin boleh balik. Kenapa Mardhiyyah?”


“Orang nak conteng sikit bilik Na, Ibu. Boleh ea, Ibu?”


“Nak conteng apa?”


Dan aku mula mencari di internet, mencetak, dan menampal kata-kata semangat di dinding meja belajar dan di sebelah katil Nazahah. Aku buat kerana aku tahu aku akan lebih sibuk dengan buku-buku di loteng nanti, dan semoga sahaja dia tetap semangat untuk terus melawan walaupun sendirian.
Bagiku itu hanya usaha kecil. Tidak aku sangka pengaruhnya besar kepada dia, sehingga kata-kata itu yang dia coretkan di blognya, beberapa bulan sebelum dia pergi.


20 Jun 2014, antara entri terakhir Nazahah:
Allah, is the only reason..why Even in pain I smile, In confusion I understand, In betrayal I trust, & in fear I continue to fight!!
How can one consider themselves lonely, when Allah is his guardian.. U're never alone


Sebesar A4 tertampal di dinding. Biar kemas minda, bahawa Allah selalu ada. Dan Nazahah sembuh sepenuhnya daripada Leukimea, pada Oktober 2012. Dia mengambil PMR juga di hospital, dan aku, harus berkali-kali ganda “olok-olok” belajar di depannya. Supaya dia punya semangat. Supaya dia tahu, aku masih di sini. Di sebalik perjuangan hidupku, dan kami masih menemaninya.


7 bulan yang menguatkan.




ALHAMDULILLAH. DAN 2013 ITU.


2013, Nazahah berada di Tingkatan 4, dan aku berada di Darul Quran JAKIM. Sesekali aku pulang bertanyakan markah Add Mathnya. Kami berborak tentang AddMath, tentang cita-cita, tentang SMA, dan sedikit-sedikit dia bertanya bagaimana aku belajar dahulu. Ya lah, banyak sangat lari-lari. Perit, sebab tercicir. Tetapi manis, sebab kita lebih menghargai sesaat berada di sekolah.


Penghujung tahun 2013, keadaan kesihatannya mula tidak baik. Beberapa kali dia menelefon di celah-celah meeting-meeting kami untuk menyambut adik-adik IQRaC Gen 15, dan banyaknya aku meminta dia untuk menelefon kembali. Dan kerap kali aku menelefon kembali, Nazahah telah tidur. Lalu dari adik-adiknya aku dengar, dia sudah mula pening-pening kembali. Sesekali dia batuk berdarah. Berat badannya turun. Dan pernah sekali aku di dalam Kem, Nazahah menelefon meminta aku pulang.


“Aku tengah kem, Na.”


“Oh. Minggu depan mu balik tak?”


“Nanti aku tengok dulu ye Na. Kenapa, Na?”


“Aku tak sedap badanlah, Kadang-kadang baring je. Eh, mu tengah kem kan. Buat elok-elok kak Mardhiyyah”


Hatiku tidak sedap. Teringat kembali kepada artikel-artikel berkenaan peratusan Leukimea untuk kembali menyerang sangat tinggi. Kadang-kadang menerima whatsapp daripada Nazahah. Menyatakan keadaan dirinya yang tak berapa baik. Dan sesekali juga aku menghantar mesej jika sudah berhari dia tidak menghubungi aku. Nazahah juga seperti remaja yang lain, mereka perlukan sokongan.


“Na, mu kena kuat! Mu kena lawan, Na!”


“Sabarlah, Na. Allah tengah berkata-kata dengan kita, tentang sabar dan ikhlas..”


Dan Ibu Ayah mula membawa Nazahah ke hospital, selepas melihatkan keaadan Nazahah yang luar kebiasaan itu. Ya, Doktor mengesahkan, Nazahah relapsed. Leukimea kali kedua. Aku diam seribu bahasa menerima berita. Masih belum dapat membaca, apakah rutin aku akan berubah juga. Hujung minggu itu juga aku segera ke hospital. Kuala Kubu Bharu ke PPUM sekitar 3 jam. Perjalanan yang aku isi dengan berfikir, “Bagaimana aku boleh membantu menguatkan dia?”


Banyak hujung minggu aku di situ, taman rekreasi yang pernah menjadi rumah keduaku, akan menjadi rumah keduaku sekali lagi. Di situ aku belajar mengenal emosi pesakit, kerana kami menerima kedatangan ramai pelawat. Namun ada masanya kami bertegas tidak membenarkan pelawat, sebab antibody Nazahah berada di bawah paras normal. Sangat rendah. Dan itulah hujung minggu aku. Sesekali aku rasa aku mesti ke hospital, sewal 5AM aku melarikan diri dari KKB. Seawal menggantikan rutin Ibu yang harus ke sekolah.


Kadang-kadang aku menyimpan stok aiskrim di dalam peti sejuk hospital. Kami menyejukkan diri, makin aiskrim bersama-sama, membawa khabar dari kedai-kedai di bawah. Misi mencari aiskrim boleh menjadi sangat sukar, lagi-lagi jika bawa wang cukup-cukup sahaja untuk ke PPUM. Begitulah kami menggembirakan Nazahah. Bercakap tentang dunia luar, tentang masalah-masalah masyarakat supaya jiwanya sentiasa besar, bahawa dia mesti terus melawan kanser.


Dia harus menjadi sebahagian daripada kebangkitan Islam. Harus.


Dan aku banyak memerhatikan perkembangannya ketika 2 minggu aku di PPUM. Terima kasih buat adik beradik IQRaC dan Ustazah, yang membantu aku banyak kali untuk “menghilang”.


Dia akan mudah terdedah kepada jangkitan kuman. Pernah paru-paru kirinya berair akibat jangkitan kuman sehingga terpaksa dimasukkan tiub dari bahagian belakang badan. Pernah juga terjadi jangkitan di lutut, hidung dan di tekak. Kadang-kadang apabila platelet sangat rendah, dia akan batuk berdarah, Tiba-tiba darah mengalir keluar dari hidung semasa tidur. Tiba-tiba batuk dan darah keluar sebesar genggaman. Pening-pening itu biasa.
Jadi, pakaiannya harus ditukar setiap hari demi menjaga kebersihan walaupun tiada arahan Doktor. Emosinya mesti dijaga dengan baik, semangat mesti sentiasa diberikan. Hati perlu sentiasa diingatkan tentang Tuhan. Kadang-kadang rasa “leceh” untuk beribadah, maka temannya harus menguatkan. Ibadah solat, mesti sharp on time. Makan harus dijaga. Bahan-bahan awet (kecuali aiskrim yang kami curi-curi makan) mesti dikurangkan atau disifarkan. Pemakanannya banyak berkisar sekitar buah-buahan, nasi putih dan lauk pauk yang sihat-sihat kurang minyak, Sebab, penyakit lain pun mudah hinggap dengan antibody yang lemah. (Sebenarnya orang yang sihat juga harus menjaga pemakanan)


Pagi-pagi kami makan vico dan oat sama-sama, kerana sarapan sering lewat sampai. Malam-malam pula membaca, exercise otak, pesan Ibu. Ayah sering datang sepanjang 2 minggu itu, membawa lauk, pakaian bersih dan jiwanya sebagai Ayah. Ibu juga sering menelefon bertanya khabar. Langkah Ibu agak terhad dengan adik-adik yang sedang membesar di rumah.


Seawal Januari 2014 sehingga Nazahah disahkan bebas daripada Leukimea pada April kemudian, sepanjang tempoh itu jaulah ke hospital menjadi rutin. Nazahah masih ingat setiap jiwa yang hadir, memberi semangat kepadanya. Banyak lagi cerita sebenarnya. Tapi cukuplah menghighlightkan beberapa prosiding ringkas, serta kekuatan emosi yang perlu diberikan kepada mereka. Setelah April 2014, kami memilih untuk meneruskan perubatan bagi mengelakkan relapse kesan toksik Chemo yang masih ada dalam darah.


Sepanjang itu Nazahah menjadi Vegetarian. Mencabar untuknya dan mencabar untuk kami. Sehinggalah Syawal tahun itu dia merasa baju baru, senaskhah buku “Senyumlah 2” dan sedikit nasi impit, daging dan kuah kacang. Ditemani dengan ubat-ubat dan supplemen berbotol-botol dengan nasihat pakar perubatan. Itu menu sepanjang tempoh itu.






DAN PAGI ITU.


Pagi 1 Ogos, 2 AM, dia bangun dan meminta air. Seperti biasa, yang menemaninya tidur sepanjang di kampung akan bangkit. Dan kami berborak-borak sekadarnya, melewati pagi dan bercerita sedikit tentang dapatan buku hadiah itu. Dia menyatakan sengal-sengal pada badannya, dan sesekali kabur matanya. Dia masih belum dapat tidur setelah bangun meminta air pagi itu. Sesekali batuk mengeluarkan darah (Kami dah biasa).


Subuh itu agak lewat, kerana dia menunggu aku solat dahulu. Aku mengambilkannya wudhuk sedangkan isyak malam itu dia masih boleh mandiri. Dia solat dengan isyarat mata. Menggerakkan jari tanda selesai solat. Pagi itu diiringi Manzil seperti biasa. Ayah berada di sisi.


Setelah itu Ayah berkata.”Ayah halalkan semuanya. Ayah maafkan semuanya. Ayah juga mohon halal, dan maaf daripada Na.”
Nazahah hanya memandang. Aku mendengar bibirnya menuturkan “Allah, Allah” lemah. Ibu meminta aku bersedia untuk membersihkan dia sekali lagi, sebelum dibawa ke hospital. Kerana kata Ayah, keadaannya pagi ini berbeza. Ibu datang membantu kerana kudrat aku yang lemah, mengantuk sekali. Tetapi kemudian Ibu keluar dari bilik apabila adik yang lain memanggil. Aku menyambung tugasan. Ketika membersihkannya itulah aku dapat membaca, ini mungkin kali terakhir. Hati menguatkan. Aku panggil Ibu.


“Ibu..” Ibu masuk.


“Ya..”


“Ibu, ini mungkin yang terakhir...” Ibu melihat Nazahah, kemudian mengangguk tanda mengerti.


“Ibu maafkan Na. Ibu halalkan semuanya. Semoga Allah memberi yang terbaik untuk Na dan kita semua.” Ibu usap kepalanya. Dan keluar kembali kerana mengerti, tugasanku belum selesai.


8.13 AM, semasa menyarungkan tudung, bersiap untuk dibawa ke hospital, dia batuk beberapa kali. Ketika itu Ayah di sisi.


“Ayah, izinkan orang”


“Ya,” Ayah mengangguk.


“Laa ilaaha illlAllah” beberapa kali aku mengulang.


“Allah, Allah”.


8.15 AM, 1 Ogos, Jumaat 5 Syawal. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Dan tangannya yang kugenggam kelihatan melemah. Kepalanya masih di atas lengan kanan ini, dan aku separuh percaya dia telah pergi. Perlahan, aku baringkan dia. Perlahan, aku memandang Ayah. Ayah memahami, dan segera mengucapkan sesuatu. Perlahan, Ayah bangun memanggil Ibu.


Perlahan, aku usap matanya dari atas dahi. Dan aku tersenyum, dia telah pergi.


Sayangi Ibu, Ayah, dan Adik-beradik kalian. Sebaik-baik atau seburuk-buruk mereka, jangan pernah putus asa untuk menanam cita-cita, bahawa kita ialah Ruhul Jadid.


Ps: Dan pada sahabat-sahabat dan adik-adik Usrah yang banyak berkorban di samping keluarga, nota ini ditulis atas permintaan seorang guru. Buat mereka ini tertanam benih terima kasih yang mendalam, kerena pengertian yang teramat.
"Allah, berkati perjalanan hidup adik-adikku dan mereka."


3:29AM, 18 Dis 2014.

[Ditulis oleh Ukhti Mardhiyyah Abadan, dari sisi pemerhati ke-3 penulis. Sisi adik beliau mungkin boleh dibaca dalam Notes sebelum ini, atau di blog Nazahah sendiri,

http://todaysnowadays.blogspot.com/

Ditulis kembali memenuhi permintaan seseorang yang istimewa, semoga teralir keberkatan untuk beliau adik-beradik]


Musafir Di Bumi Ilahi

Bermusafir di pelosok bumi,
Menyaksikan kekuasaan ciptaan Ilahi,
Yang Maha Pencipta,
Yang Maha Penguasa,
Hanya Dia yang perlu dipuji,
Atas penciptaan alam ini,
Yang tidak mampu ditandingi,
Dek mana-mana insani.


Menjelajah dan menelaah,
Setiap hikmah yang tersembunyi,
Kerana tiap kejadian,
Pasti ada kelebihan dan manfaat,
Buat yang lain mahupun sendiri,
Janji-Nya,

ما خلقت هذا باطلا سبحانك فقنا عذاب النّار

Pasti benar dan terbukti,
Malah juga ajaib sekiranya dihayati.


Hanya dengan meniliti alam ini,
Akan mendatangkan rasa,
Bahawa diri ini kerdil dan kecil,
Malah juga lemah dan hina,
Menundukkan segala rasa sombong,
Riya' dan juga bangga diri.


Segala pujian ku panjatkan pada-Mu,
Atas nikmat alam yang luas,
Sesungguhnya kepada Engkau sahaja akan kami kembali.
Meninggalkan alam yang fana,
Bermusafir menuju firdausi,
Hanya dengan Rahmat-Mu wahai Ilahi.


Saturday, 13 December 2014

C I N T A ...

Sebuah pesanan ringkas masuk;

" Macam ni. Ada sorang kawan ni. Sebaya je umur. Tapi dia couple lama lah jugak. Sejak form 3 lagi. Dan sampai sekarang masih setia. Then, bila dia masuk plkn, dia terpikat dengan orang lain. Sbb kitorang satu kumpulan, jadi dia tanya saya, 

" Apa nak buat ni? Mana satu yang nak pilih? Kita taknak curang dengan pakwe. Tapi kita suka orang tu..." 

Aku tak tau nak buat ape." 

-.-

********************

Kata setia, tapi boleh terpikat dengan orang lain?

Macam mana tu? Kalau betul-betul setia, kita akan terima segala kelebihan dan kelemahan dia. Tapi nampakkan, kita tak mampu terima. Bila datang yang lebih baik, kesetiaan kita goyah.

Cinta stereotaip, cinta plastik, malah juga cinta palsu. Takde makna bercinta macam tu. Kenapa boleh cinta boleh jadi begitu?

Sedangkan cinta itu suci. Suci daripada kecurangan, ketidaksetiaan, tikam belakang, dan sebagainya. Tetapi kita yang mencemarkan kesuciannya. Sinar sucinya menjadi sirna. Kelam, buruk dan sudah hilang nilai daripada pandangan.

Kalau betul kita setia, kenapa perlu goyah bila jumpa yang lebih baik. Pelik kan?

Ya pelik!

Ape yang pelik?

Pelik sebab cinta yang disulam tidak kerana Allah. Tidak berlandaskan syariat Dia. Kita jebakkan cinta yang pada asalnya suci ke lembah kehinaan.

Couple.

Couple Islamik.

Semuanya sama. Tiada beza. Hanya mengharapkan orang lain mengambil berat tentang kita. Orang yang bukan mahram kita. Ajnabi.

Nampak baik. Niat hendak berkahwin dengan dia. Tapi adakah benar harapan tersebut? Atau sekadar cita-cita fantasi?

Ingatlah, cinta itu suci.

Jangan cemarkan ia. Pulih, baiki dan perbaharui cinta kita. Harga diri ini mahal wahai wanita. Jangan rendahkan nilainya hanya kerana cinta yang tidak seberapa.

Haraplah cinta dari-Nya. Nescaya kita akan berjaya meraih cinta dari-Nya. Tidak akan sia-sia. Malah juga akan berjaya mendapat cinta hamba-Nya, yang juga mengasihi Dia.

Wallahualam..


Wednesday, 10 December 2014

Sendiri...

Kadang ramai itu menyesakkan. Menyesakkan diri kita. Penuh perkara munkar, tidak enak mata memandang, apatah lagi hati yang meneliti.

Sendiri.

Apakah dengan sendiri mampu menyelesaikan perkara munkar itu?

Apakah dengan sendiri mampu kita lari daripada itu semua?

Apakah juga dengan sendiri kita mampu perbaiki diri menjamin kualiti?

Lari.

Lari dari masalah tu memang mudah. Mungkin juga berjaya capai ketenangan.
Tetapi cuma ketenangan retorik. Ketenangan palsu yang hakikatnya masih dibelenggu masalah.

Ingatlah wahai teman.

Sabda Baginda s.a.w,

عليكم بالجماعة

" Hendaklah kamu sekalian berada dalam jemaah "

Perlulah kita hayati dan sama turuti. Hidup kita saling memerlukan. Saling membantu dan saling mengingati. Hiduplah bersama masyarakat.

Agar kita tahu kita ini kerdil jika dibandingkan dengan individu lain yang lebih hebat.

Hebat imannya,
hebat taqwanya,
malah juga hebat amalannya.