Wednesday, 17 December 2014

Musafir Di Bumi Ilahi

Bermusafir di pelosok bumi,
Menyaksikan kekuasaan ciptaan Ilahi,
Yang Maha Pencipta,
Yang Maha Penguasa,
Hanya Dia yang perlu dipuji,
Atas penciptaan alam ini,
Yang tidak mampu ditandingi,
Dek mana-mana insani.


Menjelajah dan menelaah,
Setiap hikmah yang tersembunyi,
Kerana tiap kejadian,
Pasti ada kelebihan dan manfaat,
Buat yang lain mahupun sendiri,
Janji-Nya,

ما خلقت هذا باطلا سبحانك فقنا عذاب النّار

Pasti benar dan terbukti,
Malah juga ajaib sekiranya dihayati.


Hanya dengan meniliti alam ini,
Akan mendatangkan rasa,
Bahawa diri ini kerdil dan kecil,
Malah juga lemah dan hina,
Menundukkan segala rasa sombong,
Riya' dan juga bangga diri.


Segala pujian ku panjatkan pada-Mu,
Atas nikmat alam yang luas,
Sesungguhnya kepada Engkau sahaja akan kami kembali.
Meninggalkan alam yang fana,
Bermusafir menuju firdausi,
Hanya dengan Rahmat-Mu wahai Ilahi.


Saturday, 13 December 2014

C I N T A ...

Sebuah pesanan ringkas masuk;

" Macam ni. Ada sorang kawan ni. Sebaya je umur. Tapi dia couple lama lah jugak. Sejak form 3 lagi. Dan sampai sekarang masih setia. Then, bila dia masuk plkn, dia terpikat dengan orang lain. Sbb kitorang satu kumpulan, jadi dia tanya saya, 

" Apa nak buat ni? Mana satu yang nak pilih? Kita taknak curang dengan pakwe. Tapi kita suka orang tu..." 

Aku tak tau nak buat ape." 

-.-

********************

Kata setia, tapi boleh terpikat dengan orang lain?

Macam mana tu? Kalau betul-betul setia, kita akan terima segala kelebihan dan kelemahan dia. Tapi nampakkan, kita tak mampu terima. Bila datang yang lebih baik, kesetiaan kita goyah.

Cinta stereotaip, cinta plastik, malah juga cinta palsu. Takde makna bercinta macam tu. Kenapa boleh cinta boleh jadi begitu?

Sedangkan cinta itu suci. Suci daripada kecurangan, ketidaksetiaan, tikam belakang, dan sebagainya. Tetapi kita yang mencemarkan kesuciannya. Sinar sucinya menjadi sirna. Kelam, buruk dan sudah hilang nilai daripada pandangan.

Kalau betul kita setia, kenapa perlu goyah bila jumpa yang lebih baik. Pelik kan?

Ya pelik!

Ape yang pelik?

Pelik sebab cinta yang disulam tidak kerana Allah. Tidak berlandaskan syariat Dia. Kita jebakkan cinta yang pada asalnya suci ke lembah kehinaan.

Couple.

Couple Islamik.

Semuanya sama. Tiada beza. Hanya mengharapkan orang lain mengambil berat tentang kita. Orang yang bukan mahram kita. Ajnabi.

Nampak baik. Niat hendak berkahwin dengan dia. Tapi adakah benar harapan tersebut? Atau sekadar cita-cita fantasi?

Ingatlah, cinta itu suci.

Jangan cemarkan ia. Pulih, baiki dan perbaharui cinta kita. Harga diri ini mahal wahai wanita. Jangan rendahkan nilainya hanya kerana cinta yang tidak seberapa.

Haraplah cinta dari-Nya. Nescaya kita akan berjaya meraih cinta dari-Nya. Tidak akan sia-sia. Malah juga akan berjaya mendapat cinta hamba-Nya, yang juga mengasihi Dia.

Wallahualam..


Wednesday, 10 December 2014

Sendiri...

Kadang ramai itu menyesakkan. Menyesakkan diri kita. Penuh perkara munkar, tidak enak mata memandang, apatah lagi hati yang meneliti.

Sendiri.

Apakah dengan sendiri mampu menyelesaikan perkara munkar itu?

Apakah dengan sendiri mampu kita lari daripada itu semua?

Apakah juga dengan sendiri kita mampu perbaiki diri menjamin kualiti?

Lari.

Lari dari masalah tu memang mudah. Mungkin juga berjaya capai ketenangan.
Tetapi cuma ketenangan retorik. Ketenangan palsu yang hakikatnya masih dibelenggu masalah.

Ingatlah wahai teman.

Sabda Baginda s.a.w,

عليكم بالجماعة

" Hendaklah kamu sekalian berada dalam jemaah "

Perlulah kita hayati dan sama turuti. Hidup kita saling memerlukan. Saling membantu dan saling mengingati. Hiduplah bersama masyarakat.

Agar kita tahu kita ini kerdil jika dibandingkan dengan individu lain yang lebih hebat.

Hebat imannya,
hebat taqwanya,
malah juga hebat amalannya.


Tuesday, 9 December 2014

Diari Kehidupan 1

Prolog

Klinik Kesihatan Rawang pagi itu kelihatan sesak dengan pesakit-pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan. Suasana norma di klinik kerajaan, sentiasa meriah dengan suara-suara pesakit, tidak kurang juga dengan suara keluhan para petugas kesihatan melayan kerenah pesakit bermasalah. Bermasalah pada moral dan kesabaran barangkali.

Jika tidak kerana keperluan untuk membuat medical checkup, tidak akan aku jejak ke tempat beraroma tri-chloro-ethane ini. Pelbagai virus dan bakteria berawangan di celah-celah molekul O² dan CO².

Ku lihat angka giliran di atas sekeping kertas kecil. 1901.

Ku lihat pula angka di papan digital, 1878.

Urghh, lamanya.

Aku capai handset di poket. Membuka aplikasi whatsapp untuk melihat bualan sahabat-sahabatku di alam maya. Satu notification menarik perhatian aku.

" Permohonan saya ditolak "


Induksi Melatih Diri

Suasana subuh hari ini amat ganjil. Berbeza dengan subuh-subuh yang genap sebelum ini. Jikalau sebelum-sebelum ini, subuh dirasakan amat sukar untuk bangkit daripada keenakkan godaan tilam. Barangkali suasana masih dikelilingi zulmat dan kedinginan fajar. Tetapi subuh kali ini ku rasakan lebih bersemangat.

" Iqab akan dikenakan jika taklifat tersebut tidak ditunaikan "

Kata-kata abang senior yang menjadi chief coordinator program Induksi Perwakilan masih terngiang-ngiang dibenak fikiran. Oh, itulah sebabnya subuh ini aku lebih bersemangat. Retorik semata.

Tup tup tup!!

Pintu bilik A13 diketuk perlahan. Satu figura melangkah masuk selepas ungkapan kesejahteraan dan kasih sayang diberikan. Zack, sahabat baruku di bumi Darul Quran. Produk lepasan sebuah maahad tahfiz yang terkenal di Selangor, dibawah kelolaan kerajaan negeri.

Beliau memang bangun awal. Seawal jam 4.30 pagi, beliau sudah bangun lantas mencapai handset Samsung S2 kesayangannya. Fon-addicted beliau amat terserlah.

" Mi, bangun. Jom qiyamullail kat masjid. Lambat nanti kena iqab"

Mendengar terma Iqab dari mulut Zack, lantas ku bangun. Tanganku mencapai tuala lalu melangkah keluar ke bilik mandi. Rungutan juga terlepas keluar daripada lisanku. Tanda protes kena bangun awal pagi.

" Sabar Mi, masa ni la kita nak mentarbiyyah diri kita sebelum kita mentarbiyyah sahabat-sahabat kita ", pesan Zack.

Sempat Zack bagi pesanan keramat sebelum melangkah keluar untuk mengejut sahabat-sahabat perjuangan yang lain. 

"Ikhlas Mi ikhlas"

Pesanku dalam hati.


******************

" Ok sekarang pecah ikut mantan masing-masing, ambil ilmu dan pengalaman mereka sebagai panduan dan rujukan kamu untuk masa akan datang "

Dewan yang kecil itu bergema dengan suara senior semester 3. Menandakan sesi penerangan Perlembagaan Persatuan telah usai disampaikan. Aku lantas berdiri dan menuntun seorang senior. Berperwatakan tenang, berwajah jambu seiras seorang penyanyi korea. Eh, aku tak minat k-pop ok.

Senior Adam namanya.

Kami mulakan perkongsian dengan bacaan Al Fatihah, sebagai tanda memohon keberkatan sepanjang perkongsian tersebut. Senior Adam menceritakan pelbagai pengalaman beliau sepanjang beliau menjawat jawatan yang sangat berat.

Setiausaha.

Jawatan keramat yang tidak semua orang mampu hadapi. Hidup sentiasa dipenuhi dengan bayangan kertas putih A4, fail, laptop dan printer.

Ahh.

Kenapalah aku terpilih untuk menyandang jawatan ni. Sudahlah berat, ditambah lagi dengan ketiadaan pengalaman sebagai inche secretary. Aku merungut sendirian. Mengenepikan ngomelan senior Adam dengan fikiranku yang sedang melayang menerawang ke daerah lain.

Aku bukanlah seorang yang berpengalaman memangku sebarang jawatan. Sepanjang 6 tahun bersekolah peringkat rendah, ditambah 5 tahun di peringkat menengah, ini kali pertama aku menyandang jawatan sebegini. Mampukah aku?

Semestinya tidak.

" Memang kita tak cukup pengalaman Mi. Tapi kita boleh belajar kan? ". Kata-kata Zack terngiang-ngiang di benak hati. Ada betulnya juga kata-kata beliau. Kita ini penuntut. Penuntut ilmu Tuhan yang tiada tepi. Limpahan ilmu-Nya tidak terhitung banyaknya. Tugas kita sebagai hamba untuk mencari, menghayati dan mengimplimentasi dalam kehidupan.

Tapi kini aku diberatkan dengan jawatan. Khalifah. Ya khalifah. Khalifah dibumi Allah Azza wa Jalla untuk mentadbir alam ini sesuai mengikut perintah dan ajaran-Nya. Bertambah lagi tanggungjawab aku sebagai hamba.

" Ok faham? ", soal senior Adam.

Aku tersentak daripada lamunan. Membetulkan kembali kedudukan di kerusi dan meja. Lantas aku angguk tanda faham terhadap apa yang disampaikan oleh beliau. Anggukan stereotaip mungkin.

" Kita tangguh liqa' kita dengan tasbih kafarah dan surah Al Asr ". Selesai sesi induksi pagi itu.

Sewaktu berjalan keluar, bahuku ditepuk dari belakang.

" Macam mana Mi? ", soal Zack.

" Boleh laa ", balasku bersahaja.

Senyum.



Monday, 8 December 2014

Percaya & Terus Percaya!!


Percaya & Terus Percaya!!

"Dah banyak kali aku doa, tapi tetap tak dimakbulkan jugak!"

"Aku betul-betul putus asa, tak tahu da nak buat ape lagi"

"Kenapa Allah timpakan aku kesusahan?"

"Cukup! Aku da malas nak mohon kat Allah!"

Dialog-dialog yang acap kali kita dengar daripada luahan hati seseorang yang ditimpa musibah atau kesusahan. Putus asa, kecewa, lemah dan berbagai-bagai lagi perasaan yang membusung di jiwa ketika itu. 

Tika itu, dunia dirasakan begitu kejam, tiada tempat untuk mengadu, seolah-olah mahu sahaja tinggalkan tempat ia berdiri dan pergi ke satu daerah yang sunyi daripada 1001 masalah mahupun kesusahan. Lalu diri menyepikan diri, menyembunyikan setiap masalah yang dihadapi dan terus memendam jauh dilubuk hati.

Hanya kerana satu musibah yang menimpa kita, kita sanggup lari meninggalkan segala-galanya? Hanya kerana Allah tidak memakbulkan satu permintaan kita, lantas kita berburuk sangka dengan memalingkan diri daripada rahmat-Nya? 

Adakah selama ini Allah TIDAK pernah mengabulkan setiap permohonan kita? 

Adakah selama ini Rabb TIDAK pernah memberikan kebahagiaan & kesenangan kepada kita? 

Sehingga setiap tohmahan dan perhinaan kita tujukan kepada Rabbul Jalil?

Ingatlah firman Allah s.w.t :

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَايُفْتَنُونَ

"Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan berkata "Kami beriman" sedangkan mereka belum diuji"
( Surah Al Ankabut : 2 )

Sesungguhnya Allah S.W.T mengurniakan kita kesusahan & musibah adalah bagi menguji tahap keimanan dan sifat kebergantungan kita terhadap Dia. 

Di samping itu, Allah juga hendak menguji kita tahap mana kesabaran kita dalam menghadapi ujian tersebut. Sebagaimana firman Allah s.w.t :

أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam
?(perjuangan

!Ya

Kita acapkali diuji dengan kepahitan ujian dan kemanisan nafsu. Sering jatuh di saat orang lain berlumba-lumba menjadi yang terbaik. Tatkala kita cuba bangkit, kita diuji lagi, lagi dan lagi. Kita cuba gagah berdiri, tapi akhirnya jatuh semula

?Adakah kita lemah

Adakah kita dipandang enteng di mata Rabb

!Tidak 

Ujian bukanlah untuk melemahkan kita. Bukan juga untuk menjadi satu kayu ukur untuk menandakan kita ini tidak diperlukan di jalan dakwah. Tetapi ujian adalah tanda kita sentiasa diperhati Tuhan Sekalian Alam. Supaya kebergantungan kita, kita serahkan sepenuhnya kepada Dia, tanpa sekelumitpun kepada manusia yang juga hamba milik-Nya

Sudah jauh kita berjalan, sudah tinggi kita menggapai. Pabila kita ditimpa sedikit ujian, letakkan kembali kebergantungan kita kepada Maha Pencipta. Supaya kita tahu, yang kita cuma hamba. Senantiasa memerlukan Dia dalam menghadapi liku-liku kehidupan, mehnah-mehnah perjuangan malah ancaman-ancaman yang menyesakkan

Sungguh rahmat-Nya tidak pernah meninggalkan kita. Setiap saat, setiap detik masa sentiasa terdapat rahmat Tuhan. Tetapi adakah kita pernah cuba mencarinya? Apatah lagi untuk menganalisis setiap hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap kejadian

.Tepuk dada, berfikir sejenak kembali

Hati merajuk, kerana diri meninggalkan Dia. Meninggalkan Dia yang sentiasa ada untuk kita kembali mengadu setiap kesusahan kita. Ego

!Ya ego

Ego dengan kejayaan kita. Ego dengan kelebihan yang kita miliki. Malah juga ego untuk tunduk rebah sujud kepada-Nya. Telaga air mata taubat di pintu air mata kering untuk mengalir. Kering untuk menitis kerana mengingati Dia

Ingatlah wahai teman, rahmat milik-Nya sentiasa ada. Tinggal kita untuk mencari dan menghayati disebalik setiap ujian yang kita hadapi. Teruslah percaya, bahawa rahmat-Nya sentiasa ada. Kita cuma hamba, sedang bermusafir menuju Dia, jangan saat orang lain gembira dengan amalan penuh berganda, kita memandang tangan kita kosong, penuh hampa

!Percayalah, dan terus percaya





Friday, 25 July 2014

Bangkitlah..

Berwuduklah sebelum tidur,
cari tempat yang sunyi,
menghadap ke kiblat,
istighfar dan lupakan dunia buat seketika.

Dirikan solat sunat,
mudah,
Hanya 2 rakaat,
panjangkan sujudmu,
berceritalah pada Allah dalam sujudmu itu,
TUHAN pasti mendengar segala keluhanmu,
DIA maha mendengar lagi maha mengetahui.

Lantas bukalah Quran tafsirmu,
Teliti satu persatu pesanan dari ILAHI,
renungi setiap kalimah dengan mata hati,
Pasti kau akan terkesan,
PASTI.

Kekuatan rohani akan kau perolehi,
Syaratnya harus kau turuti,
kita manusia tidak selamanya kuat,
kadang lemah,
kadang tidak berdaya untuk bangkit kembali,
usah kalah dengan duniawi.

Siapalah kita untuk menolak takdir  ILAHI,
sama-sama membina kekuatan,
sama-sama bangkit dari ketersungkuran ,
bangkitlah wahai jundi,
membawa satu panji,
Islam agama dicintai. 



Monday, 21 July 2014

Duhai Sahabat...

Duhai sahabat,
pertama kali kita bersua,
ku lihat satu keistimewaan pada dirimu,
memancarkan kasih sayang ukhwah,
menyulam cinta sesama saudara,
menunai amanat Rasul tercinta.

Duhai sahabat,
Rasul baginda pernah bersabda,
"tidak beriman seseorang di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya, seperti dia mencintai dirinya",
ku mengharapkan keajaiban disebalik bisyarah baginda,
bersamamu sahabat tercinta.

Duhai sahabat,
kita mengharungi pahit manis bersama,
walau 6 bulan menjalin ukhwah,
namun terasa seperti berpuluh tahun sudah tersimpul kemas,
kerana terbina atas satu matlamat yang sama,
iaitu mengejar rahmat & keredhaan-Nya.

Duhai sahabat,
selama ini belum pernah ku merasai manisnya persahabatan,
betapa indahnya epilog momento yang dipahat bersama,
di satu daerah penuh barakah,
tidak pernah sunyi dari alunan merdu kalam milik-Nya.

Duhai sahabat,
kita diuji dengan situasi yang sukar dimengerti,
namun disebalik itu terdapat hikmah yang tersembunyi,
walau dipisah demi mencapai redha ibu bapa,
namun hati tetap bersama setiap masa.

Duhai sahabat,
ku harap dikau terus tabah di daerah sana,
mencari matlamat dan cita-cita buat diri,
walau dikau berseorangan di sana,
namun hakikatnya Rabb sentiasa menemanimu,
disamping sahabatmu ini yang setia melayani.

Duhai sahabat,
walau diri ini sentiasa terasa dengan sikapmu,
tetapi tidak pernah terdetik untuk membencimu,
biarlah diriku dibenci,
asal dirimu tidak disimbah kebencian dariku,
ku relakan segalanya wahai sahabat,
asal kau terus bahagia di bumi ini.

Duhai sahabat,
andai kewujudan diriku disampingmu,
membuat dikau tidak senang,
ketahuilah,
ku sentiasa bahagia untuk berada disisimu,
jikalau diri ini dipinta untuk menjauhi dirimu,
akan ku turuti,
walau dibanjiri air mata darah.

Duhai sahabat,
usah dimengerti kalam ku ini,
ku bimbang akan merugikan masamu,
teruslah melangkah,
mencapai cita-cita dan matlamatmu,
usah futur dipersimpangan mujahadah,
bangkit duhai sahabat bangkit,
Tuhan mahu lihat kesungguhanmu,
dalam mengharapkan rahmat-Nya.

Duhai sahabat,
ketahuilah,
sahabatmu ini,
amat menyayangimu,
kerana Allah,
dan kerana rasul-Nya.

-musafirakhirat96-