Saturday 1 January 2022

Perihal Azam dan Matlamat

Tahun berganti tahun, umur kita semakin meningkat samada kita sedar atau tidak. Acapkali angka tahun berubah, manusia akan berlumba-lumba berkongsi apakah azam dan matlamat yang ingin dicapai pada tahun yang baharu itu. Ada yang meletakkan azam ingin menjadi insan yang lebih baik, ada yang berazam ingin terus sukses dalam bisnesnya hingga capai enam angka hasil keuntungan, dan ada sahaja yang azamnya ingin menjadi sihat dan keluar daripada penyakit yang sedang dia bertarung.

Apa jua sahaja azam seorang insan, pasti punya harapan dan kebergantungan pada Tuhan agar diberikan kekuatan dan kemudahan. Kekuatan melawan kesukaran menyempurnakan azam, dan kemudahan dalam segenap proses menuju matlamat.

Begitulah.

Menjelang tahun 2022 ini, azam saya cuma dua. Dan dua ini akan saya cuba capai dalam setiap tindakan dan keputusan saya sepanjang tahun ini In Shaa Allah.

Azam 1: Menjadi pemuda yang benar-benar mencintai Allah & pemuda yang benar-benar dicintai oleh Allah.

Mencintai dan dicintai Allah adalah matlamat yang paling besar bagi setiap yang beriman. Akan tetapi kita sebagai manusia kerap lupa bagaimana meletakkan manifestasi cinta Allah itu dalam kehidupan seharian. Setiap tindakan, keputusan, pertuturan, pakaian, dan segala-segalanya perlulah diasaskan dengan nilai cinta Allah. Oleh itu, ini yang saya ingin usahakan untuk tahun baharu ini, dan mudah-mudahan diteruskan hingga tahun-tahun akhir saya hidup di dunia ini.

Tunjang kepada azam ini adalah berpandukan hadith Rasulullah s.a.w;

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Dari Anas bin Malik dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali karena Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka”(HR Bukhari No: 15)

Saya yakin tatkala kita meletakkan matlamat iman sebagai asas kehidupan kita, Allah s.w.t akan memudahkan apa sahaja ujian dan rintangan yang kita bakal hadapi nanti. Bahkan Allah s.w.t juga menjanjikan pengakhiran yang sangat baik bagi mereka yang meletakkan keyakinan setinggi gunung kepada Dia, Al Hayyu dan Al Qayyum.

Azam 2: Mengimplimentasikan prinsip "Ahsanu 'Amala" dalam setiap ibadah, tindakan, dan keputusan.

Hal ini adalah berdasarkan firman Allah di dalam Surah Al-Mulk ayat ke-2, bagaimana Allah menjelaskan tujuan dijadikan kehidupan dan kematian adalah ingin menguji siapakah yang paling baik amalannya di atas muka bumi ini.

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah Al-Mulk: 2)

Fudhail bin Iyadh radiallahuanhu pernah ditanya apa maksud "Ahsanu ‘Amala", maka beliau menjawab iaitu amalan yang ikhlas dan sowab (benar). Amalan yang dilakukan secara ikhlas tetapi tidak benar maka tidak diterima. Demikian pula amalan yang benar, namun tidak dilakukan dengan ikhlas juga tidak diterima. Beliau lalu menjelaskan yang dimaksudkan ikhlas adalah ikhlas kerana Allah. Dan yang dimaksudkan benar adalah menurut sunnah Rasulullah ﷺ.

Bahkan Rasulullah ﷺ pernah menyebut sebaik-baik manusia adalah yang panjang umurnya dan baik amalannya;

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ قَالَ فَأَيُّ النَّاسِ شَرٌّ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ

Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari ayahnya, bahawa seorang laki-laki berkata; “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik?” Baginda bersabda: “Orang yang panjang umurnya dan baik amalannya.” Tanyanya lagi; “Siapakah manusia yang paling buruk?” Jawab baginda: “Orang yang panjang umurnya dan buruk amalannya.”. (Musnad Ahmad No: 19519) Status: Hadis Sahih

Oleh hal yang demikian, prinsip "Ahsanu 'Amala" menekankan nilai keikhlasan, istiqamah, serta kualiti yang tinggi dalam setiap amalan dan tindakan yang kita lakukan, baik kepada Allah s.w.t, manusia, haiwan serta alam keseluruhannya.

Mudah-mudahan kita semua berjaya mencapai apa sahaja yang kita azamkan pada tahun ini, dan berupaya untuk istiqamah mengamalkan azam tersebut setelah dicapai sehingga membentuk peribadi kita.

Allahumma ameen.



Wednesday 4 September 2019

Hikmah Ujian

Taufan kegagalan yang melanda boleh sahaja jadi satu peringatan daripada Tuhan betapa engkau sudah lama berada di atas.

Tatkala di puncak keegoan, kau lupa memandang siapa di bawah lantas terisi kekosongan jiwa dengan bibit-bibit kesombongan & takabbur.

Apakah Tuhan tidak adil tatkala Dia mencampakmu jatuh rebah ke lembah hina?

Apakah Dia zalim hanya kerana ditarik secebis nikmat di antara 1001 nikmat yang lain?

Apakah kau sedar bahawa kau cuma punya rasa untuk bersyukur & tunduk meminta di saat susah tapi kau lupa Dia tika kau senang?

Apakah kau tidak tahu bahawa Yusuf, Yunus, Muhammad  juga diuji dengan kegagalan & ujian yang seberat gunung, lantas mereka bersabar?

Lantas ibarat sampan pecah kau terdampar di persisir pantai tanpa punya harapan untuk kembali ke lautan mehnah.

فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ ۖ

Di saat kau hilang tongkat tempat berteguh, kau putus harapan tempat bergantung, segeralah kembali ke pangkuan Rabb Azza wa Jalla. Sejauh mana kau lari daripada Dia, Dia tetap dekat denganmu.

Kerana ujian bukanlah untuk melemahkan,
Tapi menguatkan hati-hati yang percaya pada Tuhan.


260818 | 2355 | Pantai Penarik


Tuesday 3 September 2019

"Assalamualaikum muallim, muallim sihat?" (Siri 1)


Deringan loceng telefon berbunyi bingit mengejutkan aku dari ulitan mimpi. Dengan mata yang masih terkatup sedikit rapat, aku memerhati waktu di paparan skrin. 

Pukul 5.15 pagi.

Kedengaran ibu dan ayah sedang bersiap-siap di bilik seberang. Dingin subuh masih terasa. Kelihatan zulmat malam kian luput dek cahaya fajar yang semakin menyinsing di kaki langit. Lantas aku bangkit mencapai tuala dan bingkas ke bilik air membersihkan diri.

Cuti semester kali ini aku tekad untuk berkerja. Setelah mensia-siakan cuti semester lepas tanpa sebarang hasil, hanya menghabiskan masa terperap di bilik. Tak mendatangkan sebarang faedah.

Hampa.

Atas minat suka berkongsi dan suka mengajar, aku tertarik untuk mencuba nasib di sebuah sekolah swasta berhampiran rumah. SRITI, sebuah sekolah swasta di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Ya, ramai yang masih tidak tahu tentang tertubuhnya sekolah ni. Mari aku kongsi serba sedikit. Sekolah ni menerapkan elemen integrasi antara akademik, diniyyah dan tarbiyah. Beza dengan sekolah biasa, sekolah ni bermula seawal 7.45 pagi dan selesai pada jam 5.45 petang.

Pelajar-pelajar dididik serta diasuh bukan sahaja pintar dalam akademik, tetapi juga dalam pengajian agama serta aspek tarbiyyah. Elemen tarbiyyah ni sememangnya takkan didapati di sekolah-sekolah harian biasa. Bahkan tidak semua maahad tahfiz mengimplimentasikan perkara yang sama.

Hebat bukan?

Perkara utama yang mengagumkan adalah para pelajar serta guru akan berkerah keringat membersihkan kawasan sekolah. Ya! Mereka sendiri yang melakukan tugas-tugas pembersihan. Dari menyapu sampah, sehinggalah membersihkan tandas sekolah.

Hal ini amat selari dengan anjuran Rasulullah S.A.W bahawa seorang muslim itu perlu menjaga kebersihan, bukan sahaja pada batang tubuhnya sahaja, tetapi juga kawasan sekitarnya. Jika tidak, masakan sah solat kita sekiranya kawasan solat kita bernajis!


***********

Seminggu berlalu. Mendidik anak-anak yang masih belum matang amat mencabar. Mencabar fizikal, mental dan kesabaran sebagai seorang dewasa. Tidak hairan jika anak-anak ini tidak mengerti apa yang kita katakan.

"Hah? Saya tak faham la muallim cakap"

"Ish muallim ni, cuba cakap perkataan yang senang faham. Kitorang kan budak lagi"

Tepuk dahi dibuatnya. Belum lagi bab mengawal anak-anak yang "special". Ya, "special" pada daya kognitif dan stamina mereka. Pantang disuruh diam, lagi mereka bertambah aktif. Di dalam fikiran mereka cuma main dan berseronok.

Ada sahaja tabiat mengusik rakan-rakan sekeliling, bahkan ada juga yang dibuatnya sehingga menangis. Apabila disuruh minta maaf dan tidak mengulangi perbuatan tersebut, sekejap sahaja insafnya.

~Aduhai anak, kau beruntung punya guru-guru berjiwa murabbi dan muaddib. Jika tidak, mungkin sahaja ada penampar sulong hinggap di pipi saban hari.~

Kadang kita lupa bahawa kekuatan yang kita punya hari ini adalah kurniaan Rabb Azza wa Jalla. Bisa sahaja Dia kurniakan untuk kita harini, lantas ditariknya pada keesokan hari.

Kita sangka hari esok adalah hari kita. Kita sangka kita punya kekuatan untuk menghadapi hari-hari seterusnya. Tetapi Dia punya rencana yang lebih baik untuk kita.

Ada turun, ada naik.
Ada sedih, ada gembira.
Ada penat, ada juga semangatnya.

Minggu beradaptasi kian berakhir. Kesedaran singgah di benak fikiran bahawa kekuatan yang sebenar adalah milik Tuhan yang Esa. Minta pada Dia sepenuh hati, nescaya kemudahan akan terbentang luas walaupun disangka sukar di saat permulaan.

Menjadi guru bukanlah suatu tugas mudah. Ianya memerlukan pengorbanan jiwa dan raga yang sangat besar. Apatah lagi mahu menjadi murabbi dan muaddib. Perlu dikorbankan kesakitan sukma, dicurahkan segala keringat tulang belikat, dan ditelan segala kepahitan realiti.

Hanya berbekal harapan untuk melihat anak didiknya menjadi insan yang mengenal Tuhan. Juga menjadi manusia berguna di lapangan masyarakat di luar sana.

"A teacher takes a hand, opens a mind, and touches a heart"




Bersambung,,,

Monday 28 May 2018

Berjiwa Besar

Saat kau diuji dengan tipu daya dunia,
Penat jerih dengan karenah manusia,
Halangan demi halangan menimpa,
Maka berjiwa besarlah!

Berjiwa besar bukan bererti kau mengalah,
Bukan bermaksud kau lupakan segalanya,
Tetapi berjiwa besar mendidik hati untuk menerima,
Bahawa tiap-tiap kejadian pasti punya hikmah dan aturan istimewa.

Berjiwa besar hakikatnya bukan suatu pilihan,
Bahkan keperluan dan kewajipan bagi setiap yang berjuang,
Hanya jika hadaf jalan juangnya adalah redha Tuhan.

Maka berbahagialah wahai yang berjiwa besar,
Terus mengalir ibarat air sungai merentasi alam,
Tiada yang mampu menghalang hingga tiba perintah Yang Esa,
Terus menapak menuju lautan dewasa!

1100 | 050518 | Catatan Marang



Anak Kecil

Anak kecil itu,
Yang dahulu senyumannya,
Sentiasa terukir girang,
Bersenda bersama bocah-bocah kecilnya,
Membina hamasah yang membara,
Melukis hadaf yang besar,
Tiada lain demi agama tercinta.

Syabab itu,
Yang dahulunya sentiasa gagah,
Melangkah maju ceburi segenap bidang,
Usahanya seakan pahlawan,
Bertempur menentang segala halangan,
Dan citanya hanya satu,
Sebelum titisan darah terakhir,
Mahu dia lihat umat ini bersatu.

Namun kini,
Segala-galanya hancur,
Punah ditelan kerakusan sang durjana,
Perbezaan dua kutub,
Dasarnya rasa tamak yang menggunung,
Berebut kuasa menegakkan benang yang basah,
Akhirnya tiada apa yang menguntungkan,
Hanya kematian, kehancuran, penuh tanggisan.

Wahai anak kecil,
Wahai syabab agama,
Usaha kalian sungguh bernilai di sisi Tuhan,
Air mata yang jatuh ke bumi,
Hanyir darah yang tumpah disisi,
Kelak bersaksi di hadapan Tuhan,
Bahawa kalian adalah syahid yang dirindui,
Rehat kalian hanya di firdausi,
Tiada lagi tanggis, tiada lagi sangsi.

Wahai umat,
Tiadakah kita sedar,
Nasib saudara seagama di sana?
Apakah mereka sedang kelaparan?
Apakah mereka menahan kesejukan?
Sedang kita bersenang di sini? .

221216 | 1030 | Pantai Cenang



Tuesday 24 November 2015

Ukhwah Semanis Coklat

Ukhwah, dalam erti kata lain sebuah ikatan persaudaraan antara Muslim adalah satu perkara yang unik dan sukar diolah dengan kata-kata. Kewujudan ukhwah dalam kalangan mukmin adalah satu anugerah Rabb Azza wa Jalla yang sepatutnya disyukuri oleh segenap insan, bahkan perlu ditanggisi sekiranya ia tiada. Ikatan ini, bukan sahaja lahir daripada aqidah yang satu, bukan sahaja lahir daripada kasih sayang yang terlahir dari hati yang suci, tetapi menuntut kepada pengorbanan dalam segenap aspek.

Pengorbanan masa, tenaga, harta mahupun jiwa menjadi satu realiti apabila ikatan ini difahami dengan sebenar-benar faham dan didasari dengan tujuan yang satu, iaitu kerana tuhan yang esa. Ukhuwwah mengajar kita untuk memahami orang lain, mengajar kita untuk sentiasa peduli orang sekeliling, dan sedia menghulurkan pertolongan  tatkala mereka di dalam kesusahan.

Ukhwah yang dijalin atas dasar keimanan mengajar kita lebih daripada itu. Peduli adakah iman saudaranya sihat, atau sedang tenat. Peduli adakah saudaranya sedang kelaparan, memerlukan sesuap nasi untuk dijamah. Peduli adakah sahabatnya sedang dalam kesusahan, dek kerana sering memencilkan diri dan semakin menjauh.

Ukhwah juga memerlukan kepercayaan yang tulus antara satu sama lain, kerana percaya itu yang menguatkan hubungan, tiada rasa ragu-ragu. Kita percaya untuk berkongsi cerita dengan sahabat kita, kita percaya untuk berkongsi rahsia dengannya, bahkan percaya untuk meluahkan segala masalah kita kepadanya. Unik bukan?

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Mafhumnya : " Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. "

Sungguh, ukhwah itu semanis coklat, malah lebih manis daripada mana2 coklat yang wujud atas muka bumi ini. Ukhwah yang dijalin bukan untuk dinikmati di atas dunia yang sementara ini sahaja, tetapi untuk dinikmati bersama menuju firdausi, kekal selamanya. Itulah manisnya ukhwah yang dijalin atas paksi keimanan, didasari hati yang ikhlas, sedia berkorban dan percaya yang tiada tepi.

Maka, jikalau kita masih belum merasai manisnya ukhwah, kita masih punya masa untuk mencontohi Saidina Abu Bakar r.a , yang sangat sayangkan ukhwahnya dengan Rasulullah s.a.w. Tatkala baginda s.a.w dituduh pendusta oleh kaumnya, beliau hadir membenarkan sahabat kesayangannya, tanpa ragu. Itulah sahabat yang sejati, menjadi peneman ketika suka dan duka, sentiasa bersama menghadapi pahit manis perjuangan.

Benar bukan, ukhwah itu lebih manis daripada coklat?



Thursday 29 October 2015

Terpencil 2

Bandaraya Melaka diselaputi kelabu jerebu yang memenuhi ruang udara. Partikel-partikel halus berterbangan di merata tempat - berasal dari tanah Sumatera - akibat perbuatan durjana manusia yang tegar membakar dan memusnahkan hutan. Akibatnya, negara-negara serantau asia tenggara merana dek jerebu yang amat membahayakan kesihatan.

Kementerian Pendidikan mengumumkan cuti sekolah di 3 negeri iaitu Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan kerana jerebu yang semakin menebal, risau membahayakan kesihatan pelajar. Bukan sahaja pelajar sekolah, malah para siswa dan siswi universiti turut diarahkan cuti dan tidak meliar di kawasan terbuka. Aku lapang dada menerima berita itu, mungkin kerana cuti yang diberikan ini dapat aku manfaatkan dengan mengulang-kaji subtopik yang agak kurang difahami, sambil2 mengemas bilik yang bersepah. Bilik bujang, faham saja lah.

Disini, aku bersyukur kerana dikurniakan sahabat-sahabat yang sangat rajin menuntut ilmu, di samping berminat dengan hal ehwal keagamaan. Mereka sentiasa terbuka untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti dakwah, walaupun kebanyakan mereka bukanlah berlatar-belakang pelajar sekolah agama. Situasi yang pada mulanya aku merasakan sangat menekan keimanan, bertukar kepada situasi yang sangat memerlukan kesabaran dan pendekatan yang berhikmah.

Tiada rasis bangsa.
Tiada rasis agama.

Perbincangan dijalankan secara terbuka, saling berlapang dada dan bertoleransi jika berbeza pendapat dan pandangan. Dulu, sukar untuk melihat satu perbincangan berjalan dengan aman, perbalahan emosi sering terjadi, ego yang menebal amat sukar dikikis. Tapi di sini, segalanya bisa dibincang, sama-sama fikir baik buruk, dan mencapai kata sepakat yang adil kepada semua pihak, tanpa mengira agama dan kaum.

Seorang sahabat yang kerap aku berkongsi cerita dan pengalaman, merupakan produk berkualiti sebuah sekolah asrama penuh yang terkenal di Kuala Lumpur. Seorang yang boleh dipercayai, sedia membantu dan sudi mendengar patah-patah bicara perkongsian cerita sewaktu aku di bumi barakah dahulu ( dan beliau peminat setia kpop ==" ).

Ya, sahabat sangat memainkan peranan yang penting tika kita berjauhan dari keluarga bukan? 

" A friend in need, is a friend indeed "