Tuesday 9 December 2014

Diari Kehidupan 1

Prolog

Klinik Kesihatan Rawang pagi itu kelihatan sesak dengan pesakit-pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan. Suasana norma di klinik kerajaan, sentiasa meriah dengan suara-suara pesakit, tidak kurang juga dengan suara keluhan para petugas kesihatan melayan kerenah pesakit bermasalah. Bermasalah pada moral dan kesabaran barangkali.

Jika tidak kerana keperluan untuk membuat medical checkup, tidak akan aku jejak ke tempat beraroma tri-chloro-ethane ini. Pelbagai virus dan bakteria berawangan di celah-celah molekul O² dan CO².

Ku lihat angka giliran di atas sekeping kertas kecil. 1901.

Ku lihat pula angka di papan digital, 1878.

Urghh, lamanya.

Aku capai handset di poket. Membuka aplikasi whatsapp untuk melihat bualan sahabat-sahabatku di alam maya. Satu notification menarik perhatian aku.

" Permohonan saya ditolak "


Induksi Melatih Diri

Suasana subuh hari ini amat ganjil. Berbeza dengan subuh-subuh yang genap sebelum ini. Jikalau sebelum-sebelum ini, subuh dirasakan amat sukar untuk bangkit daripada keenakkan godaan tilam. Barangkali suasana masih dikelilingi zulmat dan kedinginan fajar. Tetapi subuh kali ini ku rasakan lebih bersemangat.

" Iqab akan dikenakan jika taklifat tersebut tidak ditunaikan "

Kata-kata abang senior yang menjadi chief coordinator program Induksi Perwakilan masih terngiang-ngiang dibenak fikiran. Oh, itulah sebabnya subuh ini aku lebih bersemangat. Retorik semata.

Tup tup tup!!

Pintu bilik A13 diketuk perlahan. Satu figura melangkah masuk selepas ungkapan kesejahteraan dan kasih sayang diberikan. Zack, sahabat baruku di bumi Darul Quran. Produk lepasan sebuah maahad tahfiz yang terkenal di Selangor, dibawah kelolaan kerajaan negeri.

Beliau memang bangun awal. Seawal jam 4.30 pagi, beliau sudah bangun lantas mencapai handset Samsung S2 kesayangannya. Fon-addicted beliau amat terserlah.

" Mi, bangun. Jom qiyamullail kat masjid. Lambat nanti kena iqab"

Mendengar terma Iqab dari mulut Zack, lantas ku bangun. Tanganku mencapai tuala lalu melangkah keluar ke bilik mandi. Rungutan juga terlepas keluar daripada lisanku. Tanda protes kena bangun awal pagi.

" Sabar Mi, masa ni la kita nak mentarbiyyah diri kita sebelum kita mentarbiyyah sahabat-sahabat kita ", pesan Zack.

Sempat Zack bagi pesanan keramat sebelum melangkah keluar untuk mengejut sahabat-sahabat perjuangan yang lain. 

"Ikhlas Mi ikhlas"

Pesanku dalam hati.


******************

" Ok sekarang pecah ikut mantan masing-masing, ambil ilmu dan pengalaman mereka sebagai panduan dan rujukan kamu untuk masa akan datang "

Dewan yang kecil itu bergema dengan suara senior semester 3. Menandakan sesi penerangan Perlembagaan Persatuan telah usai disampaikan. Aku lantas berdiri dan menuntun seorang senior. Berperwatakan tenang, berwajah jambu seiras seorang penyanyi korea. Eh, aku tak minat k-pop ok.

Senior Adam namanya.

Kami mulakan perkongsian dengan bacaan Al Fatihah, sebagai tanda memohon keberkatan sepanjang perkongsian tersebut. Senior Adam menceritakan pelbagai pengalaman beliau sepanjang beliau menjawat jawatan yang sangat berat.

Setiausaha.

Jawatan keramat yang tidak semua orang mampu hadapi. Hidup sentiasa dipenuhi dengan bayangan kertas putih A4, fail, laptop dan printer.

Ahh.

Kenapalah aku terpilih untuk menyandang jawatan ni. Sudahlah berat, ditambah lagi dengan ketiadaan pengalaman sebagai inche secretary. Aku merungut sendirian. Mengenepikan ngomelan senior Adam dengan fikiranku yang sedang melayang menerawang ke daerah lain.

Aku bukanlah seorang yang berpengalaman memangku sebarang jawatan. Sepanjang 6 tahun bersekolah peringkat rendah, ditambah 5 tahun di peringkat menengah, ini kali pertama aku menyandang jawatan sebegini. Mampukah aku?

Semestinya tidak.

" Memang kita tak cukup pengalaman Mi. Tapi kita boleh belajar kan? ". Kata-kata Zack terngiang-ngiang di benak hati. Ada betulnya juga kata-kata beliau. Kita ini penuntut. Penuntut ilmu Tuhan yang tiada tepi. Limpahan ilmu-Nya tidak terhitung banyaknya. Tugas kita sebagai hamba untuk mencari, menghayati dan mengimplimentasi dalam kehidupan.

Tapi kini aku diberatkan dengan jawatan. Khalifah. Ya khalifah. Khalifah dibumi Allah Azza wa Jalla untuk mentadbir alam ini sesuai mengikut perintah dan ajaran-Nya. Bertambah lagi tanggungjawab aku sebagai hamba.

" Ok faham? ", soal senior Adam.

Aku tersentak daripada lamunan. Membetulkan kembali kedudukan di kerusi dan meja. Lantas aku angguk tanda faham terhadap apa yang disampaikan oleh beliau. Anggukan stereotaip mungkin.

" Kita tangguh liqa' kita dengan tasbih kafarah dan surah Al Asr ". Selesai sesi induksi pagi itu.

Sewaktu berjalan keluar, bahuku ditepuk dari belakang.

" Macam mana Mi? ", soal Zack.

" Boleh laa ", balasku bersahaja.

Senyum.



No comments:

Post a Comment